KPM kekal guna silibus sedia ada

Fadhlina (tengah) melakukan lawatan sekitar SMJK Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah, di sini, pada Ahad.
Fadhlina (tengah) melakukan lawatan sekitar SMJK Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah, di sini, pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus menggunakan silibus pembelajaran sedia ada termasuklah mata pelajaran sejarah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap silibus digunakan untuk pelajar dalam negara mengikut kitaran tempoh ditetapkan.

Beliau memaklumkan, kesemua silibus kurikulum terbabit juga dipantau oleh pakar-pakar bidang berkaitan.

"(Silibus) murid-murid ada kitaran (masa perlaksanaannya). Jadi, setakat ini kita kekal dengan (silibus) sedia ada sehinggalah kitaran itu habis.

"(Kemudian) kita akan lihat dari segi keperluan untuk semua (penambahbaikan) dan ia bukan sejarah sahaja tetapi untuk semua subjek sekali,"katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah, di sini, pada Ahad.

Fadhlina berkata sedemikian ketika diminta mengulas cadangan pihak tertentu supaya silibus sejarah tentang Kedah dan Pulau Pinang dalam buku teks perlu dibuat penambahbaikan.

Beliau menjelaskan, isu penambahbaikan silibus pembelajaran tidak tertumpu pada mata pelajaran sejarah semata-mata, sebaliknya mengambil kira semua aspek.

Sebelum itu, Fadhlina turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk kerja membaik pulih kerosakan jalan dan menyelenggara kemudahan di SMJK Keat Hwa.