'Saya tidak setuju pilihan raya PBT' - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) antara Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Rabu.
Ahmad Samsuri ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) antara Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bercanggah dengan kedudukan Perlembagaan serta berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, struktur pentadbiran sedia ada khususnya di ibu negara sudah melibatkan terlalu banyak unit dan hanya perlu ditambah baik.

"Saya tidak bersetuju untuk diadakan pilihan raya itu. Pertama, jika dilihat dari sudut Perlembagaan, pilihan raya PBT telah dimansuhkan selepas berlakunya rusuhan kaum pada tahun 1969.

"Selepas itu, kita tahu terdapat negeri-negeri yang menggubal enakmen masing-masing untuk mengadakan pilihan raya PBT, namun ia bercanggah dengan Perlembagaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) antara Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Beliau berkata, berdasarkan kedudukan Perlembagaan sedia ada, pelaksanaan pilihan raya PBT dilihat tidak wajar untuk diadakan.

Katanya, pilihan raya itu berpotensi mewujudkan unsur-unsur politik yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran sesebuah kerajaan.

"Pada pandangan saya, kita bukan sekadar melihat soal pilihan raya semata-mata, tetapi perlu melihat dari sudut keseimbangan dan kestabilan masyarakat di samping mempertimbangkan apa yang akan berlaku sekiranya wujud perbezaan pandangan antara PBT dan kerajaan negeri," jelas beliau.

Katanya lagi, sistem yang diamalkan di Malaysia ketika ini wajar ditambah baik tanpa perlu memperkenalkan pilihan raya PBT.

"Saya faham ada pihak yang melihat model di negara-negara maju, namun ia tidak boleh dilihat dari satu aspek sahaja. Kita perlu melihat secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang diamalkan sekarang, kita tambah baik. Jika terdapat kelemahan dalam sistem sedia ada tanpa pilihan raya PBT, kita perbaiki kelemahan tersebut.

"Saya rasa itu lebih bermakna daripada memperkenalkan satu perkara baharu yang boleh menjejaskan kestabilan dan tidak mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pilihan raya PBT dilihat lebih praktikal berbanding pemilihan ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan.

 

Ringkasan AI

  • Cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan bercanggah dengan Perlembagaan dan berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran
  • Menteri Besar Terengganu menegaskan struktur pentadbiran sedia ada sudah melibatkan terlalu banyak unit dan hanya perlu ditambah baik
  • Pilihan raya pihak berkuasa tempatan telah dimansuhkan selepas rusuhan kaum pada tahun 1969 dan dianggap tidak wajar diadakan berdasarkan Perlembagaan sedia ada
  • Pelaksanaan pilihan raya tersebut berpotensi mewujudkan perbezaan pandangan antara pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri
  • Sistem pentadbiran yang diamalkan di Malaysia wajar ditambah baik tanpa perlu memperkenalkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!