Kepala air: Beringatlah sebelum terlambat

Laporan Sinar Harian mengenai tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu.
Laporan Sinar Harian mengenai tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu.
A
A
A

BARU-baru ini, negara digemparkan dengan insiden kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu yang telah mengorbankan lapan nyawa manakala dua lagi mangsa masih hilang.

Apa yang lebih menyedihkan, sembilan mangsa terdiri pasangan suami isteri dan tujuh anaknya yang berusia empat hingga 18 tahun itu dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri selepas kawasan perkelahan tersebut dinaiki air sehingga paras 10 meter.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Fikri Saliman, 24, merupakan tunang kepada anak sulung pasangan terbabit turut dikhuatiri lemas.

Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berwajib sejak Ahad berjaya menemukan lapan mangsa. Misi masih diteruskan (setakat artikel ini ditulis) bagi mencari dua lagi individu yang masih hilang termasuk Muhammad Fikri.

Lagi menyayat hati, insiden tersebut hanya disedari orang kampung selepas penemuan mayat seorang wanita yang dihanyutkan air manakala seorang lagi kanak-kanak ditemui tersangkut pada dahan pokok.

Benarlah orang kata, malang tak berbau. Percutian menggembirakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha buat famili tersebut berakhir dengan kejadian memilukan.

Bukan setakat kita yang bersedih, malah ahli keluarga mangsa turut terkesan apabila insan yang mereka sayang pergi buat selama-lamanya.

Siapa sangka, lokasi beriadah di Jeram Air Putih yang sebelum ini belum pernah mencatatkan rekod kejadian kepala air, ia akhirnya berlaku dalam situasi cukup mencemaskan.

Jika dicongak, musibah tersebut bukanlah pertama kali berlaku di Terengganu, malah banyak kes dilaporkan terutamanya ketika musim cuaca yang tidak menentu.

Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, sebanyak 21 pusat peranginan dan tapak perkelahan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko dilanda fenomena kepala air pada tahun 2022.

Antara lokasi yang kerap disebut di Kemaman seperti Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Puteh dan Sungai Cherul.

Air Terjun Lata Tembakah, Air Terjun Lata Belantan, Kolam Air Panas (La Hot Spring) dan Lata Kolam Air Deru Ecopark di Besut.

Di Setiu pula, lokasi yang dikenal pasti ialah Lata Ulu Kekabu, Lata Chakah dan Lata Payung manakala di Hulu Terengganu pula Air Terjun Sekayu, Air Terjun Juwita, Air Terjun Soak, Air Terjun Lasir dan Air Terjun Belukar Bukit.

Selain itu, lima lagi kawasan di Dungun yang berisiko iaitu Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lubuk Kain.

Tidak hanya di Terengganu, negeri lain seperti Kedah merekodkan 39 lokasi, 11 kawasan di Kelantan dan 14 tempat di Perak manakala di Selangor, tiga sungai di Hulu Selangor disahkan sebagai hotspot lemas akibat kepala air sepanjang tahun 2020 hingga 2022.

Amaran keras turut diberikan pihak bomba dan penyelamat kepada pengunjung supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling ketika beriadah di lokasi air terjun.

Mungkin panduan tersebut sudah acap kali dipesan kepada orang ramai, namun percayalah manusia mudah lupa.

Justeru, Sinar Harian mahu mengingatkan semula kepada semua supaya sentiasa berwaspada ketika berlaku hujan di puncak bukit, bunyi kuat seperti guruh, perubahan air daripada jernih menjadi keruh dan berbuih.

Selain itu, cepatlah beredar ke tempat lebih tinggi sekiranya paras air meningkat secara mendadak.

Jangan terlalu ikutkan kata hati, semata-mata mahu memuaskan hati si kecil yang mahu bermain air. Mungkin selepas ini perancangan perkelahan di kawasan air terjun boleh ditunda buat sementara waktu sehingga cuaca kembali okey.

Paling tidak pun, pilihlah lokasi riadah yang lebih selamat seperti pantai, tasik atau pilihan inap desa dan taman tema air yang sudah tersedia dengan tarikan kolam mandi.

Mungkin harga tiket agak membebankan buat keluarga yang memiliki anak yang ramai, namun sekurang-kurangnya keselamatan mereka lebih terjamin.

Pilihan di tangan anda dan kita wajar mengambil iktibar dalam setiap kejadian yang berlaku supaya kejadian sama tidak berulang lagi. Ingatlah orang tersayang.

*Arziana Mohmad Azaman ialah wartawan Lifestyle SinarPlus, Sinar Harian

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata

'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'

Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3