Media sosial bukan taman permainan

DALAM dunia teknologi yang semakin dipacu algoritma, media sosial tidak lagi sekadar ruang berkongsi detik indah. Ia sudah menjadi ekosistem besar mempengaruhi cara remaja berfikir, berinteraksi dan menilai diri sendiri.
Perubahan pantas sehingga ramai tidak sedar dunia digital kini membentuk identiti generasi muda secara langsung.
Daripada trend kecantikan ekstrem hinggalah tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna, realitinya semakin banyak negara mula melihat platform digital sebagai isu keselamatan sosial, bukan sekadar alat komunikasi.
Paparan kehidupan yang kelihatan ideal sering mencipta persepsi palsu tentang kejayaan, hubungan dan kebahagiaan, sekali gus mempengaruhi emosi pengguna muda yang masih mencari arah diri.
Remaja hari ini bukan sahaja terdedah buli siber, tetapi juga promosi produk berbahaya yang boleh menjejaskan imej dan kesihatan mental.
Dalam dunia hiburan, populariti segera yang datang bersama jumlah tontonan dan tanda suka menjadikan tekanan semakin sukar dielakkan.
Pendedahan berlebihan terhadap kandungan sensitif menjadikan ramai remaja mudah membandingkan diri dengan standard tidak realistik yang meningkatkan tekanan emosi.
Ada yang mula merasakan nilai diri hanya bergantung pada perhatian maya, sedangkan realiti jauh lebih kompleks daripada sekadar angka di skrin.
Australia antara negara yang melangkah berani apabila melaksanakan larangan penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun.
Perancis pula meluluskan cadangan larangan untuk remaja bawah 15 tahun, manakala beberapa negara Eropah lain mempertimbangkan sekatan lebih ketat, termasuk sistem pengesahan umur lebih tegas.
Perubahan ini menunjukkan dunia menuju fasa baharu yang lebih berwaspada mengawal teknologi.
Pendekatan berbeza ini membuktikan isu media sosial bukan sekadar soal teknologi, tetapi melibatkan budaya, pendidikan dan tahap kesiapsiagaan komuniti terhadap perubahan zaman.
Malaysia pula dilihat mengambil pendekatan lebih seimbang dengan menilai keberkesanan garis panduan sedia ada sebelum memperkenalkan peraturan lebih keras.
Dalam konteks hiburan tempatan, ramai pempengaruh muda muncul sebagai ikon digital yang membentuk gaya hidup dan cara berfikir generasi baharu.
Situasi ini memperlihatkan pengaruh media sosial bukan hanya di luar negara, tetapi turut membentuk landskap hiburan tempatan secara perlahan.
Namun, persoalan besar masih kekal, adakah larangan semata-mata mampu menyelesaikan masalah?
Realitinya, remaja hari ini membesar dalam dunia digital yang sukar dipisahkan daripada kehidupan harian.
Media sosial juga menjadi ruang ekspresi kreatif, sumber inspirasi dan peluang kerjaya, terutama dalam industri hiburan yang semakin kompetitif.
Cabaran sebenar bukan hanya mengawal akses, tetapi membina literasi digital sihat.
Peranan ibu bapa, pendidik dan pemain industri jadi semakin penting untuk pastikan remaja memahami sempadan antara hiburan dan realiti.
Hakikatnya, media sosial bukan musuh, namun tanpa panduan jelas, ia boleh menjadi ruang mengaburi sempadan antara populariti dengan kesejahteraan diri.
Ketika dunia mula mengetatkan undang-undang, mungkin persoalan sebenar bukan sekadar 'patutkah remaja dilarang?', tetapi bagaimana kita sebagai komuniti membantu mereka membesar dalam dunia digital yang lebih selamat, seimbang dan matang tanpa kehilangan ruang untuk berkarya dan menjadi diri sendiri.
*Nurezzatul Aqmar Mustaza merupakan wartawan Lifestyle Pop Family
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

