Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Hanyan (tengah) ketika sidang media pada Selasa.
Hanyan (tengah) ketika sidang media pada Selasa.
A
A
A

KEMAMAN - Mayat ketujuh mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini disahkan sebagai Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, jumlah itu menjadikan seramai tujuh mangsa disahkan identiti setakat ini termasuk penemuan dua mayat, Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada jam 12.30 tengah hari Ahad.

"Mayat ditemukan tersangkut di tebing sungai dengan jarak lebih kurang 24 kilometer (km) dari tempat kejadian.

"Dengan penemuan mayat ketujuh ini menjadikan tiga lagi baki mangsa yang masih hilang iaitu dua perempuan dan seorang lelaki," katanya kepada pemberita semasa sidang media pada Selasa.

Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Pada Isnin, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan mengesahkan enam mayat yang ditemukan adalah mangsa tragedi tersebut.

Mayat pertama, Azizah Eiyi, 40, ditemui jam 12.45 tengah hari Ahad kira-kira 24km dari lokasi kejadian.

Sementara anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui tersangkut kira-kira jam 3 petang hari yang sama.

Pada Isnin, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Putri Aryana Umaira; 4, Putri Nurerina Natasya; 10, dan bapa mereka, Karim Abdullah, 39, yang ditemui lemas sudah disahkan identiti oleh keluarga mereka.

Sebelum itu, Muhammad Haziq Ziqree, 6, ditemui terapung oleh pasukan pencarian jam 11.05 pagi.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata, kesemua mayat mangsa tragedi tersebut dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, mana-mana pihak diminta tidak menyebar sebarang berita palsu yang boleh mengganggu selain mengaibkan keluarga mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa