[VIDEO] Dr Samsuri Pengerusi PN baharu

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu berkuat kuasa pada Ahad.
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Menteri Besar Terengganu itu dibuat bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Januari lalu.
Menurutnya, jawatan Timbalan Pengerusi pula akan disandang Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Adalah dimaklumkan, mesyuarat telah meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin selaku pengurusi Perikatan Nasional berkuat kuasa 1 Januari 2026.
“Mesyuarat seterusnya dengan sebulat suara melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Tertinggi PN di Pejabat Pas Pusat di sini pada Ahad.
Muhyiddin sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN susulan kemelut yang melanda Pas dan Bersatu di Perlis.
Sementara itu, ditanya mengenai rasional pelantikan Ahmad Samsuri itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, ia dibuat atas pelbagai pertimbangan.
Selain itu katanya, Perlembagaan PN juga tidak meletakkan syarat pengerusi gabungan itu perlulah presiden parti.
“Pertamanya dari segi Perlembagaan PN, tidak dinyatakan siapa yang boleh dilantik sebagai pengerusi.
"Maknanya siapa sahaja daripada PN boleh dipilih oleh Majlis Tertinggi PN untuk menjadi pengerusi. Dia tidak perlu kepada presiden parti ke ataupun timbalan presiden,” katanya.
Terdahulu, pelantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu disahkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dr Dominic Lau ketika ditemui selepas selesai Mesyuarat Tertinggi (MT) PN di Pejabat Pas Pusat di sini pada Ahad.
Ringkasan AI
- Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik Pengerusi Perikatan Nasional yang baru
- Pelantikan tersebut menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada Januari lalu
- Muhyiddin kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional
- Pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa serta-merta
- Perlembagaan PN tidak mensyaratkan pengerusi gabungan itu mesti presiden parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

