Exco Terengganu ditahan SPRM, disyaki salah guna jawatan lantik anak bekerja

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11.15 pagi pada Ahad ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2018 dan 2020.
"Suspek yang juga merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di salah sebuah daerah di negeri ini dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai Exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
"Suspek dijangka akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat," ujarnya.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri atas dakwaan salah guna kedudukan
- Suspek disyaki mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan
- Penahanan berlaku pada Ahad kira-kira jam 11.15 pagi ketika suspek hadir memberikan keterangan
- Perbuatan disyaki berlaku sekitar tahun 2018 dan 2020
- Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
