Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3

Waris mangsa tragedi kepala air berada di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ di Kuala Terengganu bagi menuntut jenazah untuk dibawa ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan.
Waris mangsa tragedi kepala air berada di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ di Kuala Terengganu bagi menuntut jenazah untuk dibawa ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Enam jenazah mangsa tragedi kepala air akan dibawa balik dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan bagi urusan pengebumian.

Menurut kakak ipar mangsa, Rosilawati Kassim, 49, enam jenazah yang telah ditemukan pada Ahad dan Isnin itu dijangka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan.

Menurutnya, kesemua jenazah akan disemadikan dalam satu liang lahad pada Selasa malam.

"Setakat ini kita telah dapat pelepasan daripada pihak polis untuk membawa pulang enam jenazah ini yang telah selesai melalui proses pengecaman dan post morterm.

"Jenazah dijangka akan dimandikan dan dikapankan di HSNZ kira-kira jam 3 petang ini dan akan dibawa terus ke Masjid Felda Lepar Hilir 3 untuk disembahyangkan.

"Semua persiapan untuk urusan pengebumian jenazah telah siap diatur dan kita hanya tunggu masa sahaja jenazah tiba untuk proses pengebumian," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ pada Selasa.

Rosilawati merupakan kakak ipar kepada Allahyarham Azizah Eiyi, 40, iaitu mangsa pertama yang ditemui lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di Kemaman.

Jenazah ketujuh tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital HSNZ di Kuala Terengganu untuk proses post mortem.
Jenazah ketujuh tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital HSNZ di Kuala Terengganu untuk proses post mortem.

Selain Allahyarham Azizah, turut ditemukan adalah suaminya, Allahyarham Karim Abdullah, 39.

Lima lagi mangsa yang turut ditemukan ialah anak pasangan itu iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4 dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10.

Sementara itu, Rosilawati berkata, mereka sekeluarga berharap agar urusan pencarian tiga lagi mangsa berjalan lancar.

"Kami berdoa agar urusan mencari tiga lagi ahli keluarga termasuk tunang anak saudara berjalan lancar," ujarnya.

Terbaharu, mayat ketujuh mangsa tragedi kepala air iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, disahkan ditemukan orang awam kira-kira jam 7.45 pagi pada Selasa.

Jenazah Allahyarham Putri Balqis Izzati tiba di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ kira-kira jam 2.15 petang dan perlu menjalani proses post mortem.

Setakat ini, tiga lagi mayat yang masih belum ditemukan adalah Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14 dan Muhammad Fikri Saliman, 24.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa