Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata

Waris, Siti Aisyah Eiyi, 39, kelihatan hiba selepas mengetahui kakaknya iaitu Azizah, 40, terkorban dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih ketika tinjauan di Pusat Kawalan Operasi, Balai Polis Air Putih hari ini. - Foto Bernama
Waris, Siti Aisyah Eiyi, 39, kelihatan hiba selepas mengetahui kakaknya iaitu Azizah, 40, terkorban dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih ketika tinjauan di Pusat Kawalan Operasi, Balai Polis Air Putih hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Makan malam bersama dua sepupunya merupakan memori terakhir buat Muhammad Zulfaqar Hadi Abdullah, 14, yang kehilangan saudara rapatnya itu dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Chukai di Terengganu, pada Sabtu.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, kali terakhir dia bertemu sepupunya Putri Alleya Maisarah Karim, 16, dan Putri Nor Fatin Karim, 14, adalah pada Jumaat malam, iaitu sehari sebelum mangsa difahamkan bergerak ke lokasi kejadian.

"Mereka berdua paling rapat dengan saya berbanding yang lain ... memang dari kecil kami selalu main bersama-sama dan sehingga sekarang pun kami masih rapat dan sering lepak bersama-sama.

"Malah pada sehari sebelum kejadian, kami keluar makan malam di bandar dan saya tidak menjangkakan ia menjadi memori terakhir kami," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Felda Lepar Hilir 3 di sini, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar Hilir itu juga tidak dapat menahan sebak semasa membantu membuat pengecaman terhadap seorang lagi sepupunya, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, dan berharap ahli keluarganya yang masih belum dijumpai dapat segera ditemukan.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Zulfaqar, Rafeah Eiyi, 31, berkata, abang iparnya Karim Abdullah, 39, sememangnya gemar memancing dan kali pertama membawa keluarganya ke lokasi kejadian untuk berkelah.

Katanya, beliau sememangnya terkejut apabila menerima berita duka itu ketika dihubungi polis pada petang Ahad dan bergegas ke hospital selepas itu.

Jiran mangsa, Nasaini Samsudin, 33, pula menyifatkan Azizah Eiyi, 40, sebagai "seorang yang mudah untuk diminta pertolongan dan tidak sombong” serta seorang yang ceria.

"Azizah tak pernah bermasam muka dengan sesiapa. Kami kerap berjumpa di depan rumah mak arwah pada sebelah petang untuk makan ‘colek’ bersama menyebabkan sukar untuk saya terima bahawa dia sudah tiada... apa-apa pun, saya reda dengan ketentuan ini," katanya.

Suri rumah itu berkata, semasa mendengar berita itu, beliau menjangkakan hanya Karim yang terkorban sebelum mengetahui Azizah dan anak-anaknya turut menjadi mangsa.

"Saya terduduk... sebak dan tidak percaya langsung kerana kami memang rapat. Malah, anak-anak juga sering bermain bersama-sama dan sekelip mata, kesemua mereka tiada," katanya.

Pada Ahad, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga yang dilaporkan berkelah di Jeram Air Putih pada petang Sabtu, hilang selepas dihanyutkan kepala air di kawasan itu.

Setakat pagi tadi, tujuh mayat telah ditemukan dan dikenal pasti identitinya iaitu Karim; Azizah; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4; dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18,

Mangsa yang masih hilang ialah Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati. - Bernama