Pertikaian Rafizi–Caprice: Mahkamah tentukan elemen fitnah, sindiran tersirat

Rafizi dan Caprice
Rafizi dan Caprice
A
A
A

TINDAKAN undang-undang yang bakal diteruskan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli terhadap penyanyi rap dan pempengaruh, Caprice memperlihatkan satu lagi episod pertembungan terbuka antara figura politik dan personaliti media sosial yang berpotensi memberi kesan besar dari sudut undang-undang serta persepsi awam.

Isu ini tercetus susulan kandungan yang dimuat naik Caprice yang didakwa mengaitkan Rafizi dengan konflik kepentingan melibatkan Syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd dan tuduhan berhubung penganugerahan kontrak bernilai RM2.5 bilion.

Bekas Menteri Ekonomi itu bagaimanapun menegaskan bahawa pertanyaan berbentuk tuduhan atau sindiran tersirat tetap boleh dianggap sebagai fitnah di sisi undang-undang, khususnya apabila wujud elemen innuendo dan insinuation.

Prinsip undang-undang fitnah di negara ini tidak hanya tertumpu kepada kenyataan secara langsung, malah turut mengambil kira maksud tersirat dalam pertanyaan yang boleh menjejaskan reputasi seseorang.

Sekiranya mahkamah mendapati wujud elemen yang membawa maksud bahawa seseorang itu terlibat dalam salah laku atau rasuah tanpa bukti kukuh, ia boleh memenuhi elemen asas saman fitnah.

Rafizi juga menyatakan bahawa dokumen carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun 2019 yang dikemukakan Caprice tidak membuktikan wujudnya konflik kepentingan atau elemen rasuah seperti pemberi dan penerima wang serta campur tangan dalam proses kontrak.

Walaupun perkembangan itu dilihat sebagai pertikaian peribadi dan perundangan, namun latar belakang Rafizi sebagai figura politik terkenal menjadikan isu ini mempunyai dimensi politik yang tersendiri.

Tuduhan melibatkan angka besar seperti RM2.5 bilion secara tidak langsung boleh mempengaruhi persepsi awam, walaupun belum dibuktikan di mahkamah.

Dalam konteks politik semasa, sebarang dakwaan rasuah terhadap tokoh politik lazimnya mendapat perhatian meluas di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Buat masa ini, kedua-dua pihak masih berpegang kepada pendirian masing-masing. Caprice sebelum ini dilaporkan menuntut agar hantaran yang didakwa berunsur fitnah diturunkan sebelum mengambil tindakan undang-undang balas.

Apa yang pasti, keputusan mahkamah kelak bakal menjadi penanda aras penting dalam landskap perundangan fitnah dan komunikasi digital di Malaysia.

Sehingga itu, undang-undang kekal terpakai pada prinsip asas iaitu, seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!