30 geng motocross bantu kesan mangsa kepala air

Permandangan dari udara Sungai Taladas selepas tragedi kepala air di Jeram Air Putih ketika tinjauan di Kampung Teladas, pada Selasa. - Foto Bernama
Permandangan dari udara Sungai Taladas selepas tragedi kepala air di Jeram Air Putih ketika tinjauan di Kampung Teladas, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

CHUKAI - Prihatin dengan nasib yang menimpa 10 mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, di sini mendorong 30 penduduk Kampung Air Putih yang juga ahli kumpulan ‘motorcross’ menyertai operasi pencarian.

Seorang daripada ahli kumpulan tersebut, Mohamad Yusof Sulong, 60, berkata, dengan menggunakan kenderaan tersebut memudahkan mereka untuk membuat pencarian di kawasan darat yang sukar diakses pacuan empat roda di sepanjang Sungai Teladas.

"Kami telah mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan untuk turut serta dalam operasi ini. Kami faham prosedur kerja-kerja penyelamatan seperti ini.

"Kami tolong seikhlas hati, setakat yang mampu. Insya-Allah niat kami ikhlas untuk bantu pasukan pencarian dan ringankan beban emosi ditanggung keluarga waris yang masih tertanya-tanya keberadaan mangsa yang belum ditemui," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Mohamad Yusof berkata, memasuki hari ketiga terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu, beliau dan kumpulannya turut berdepan kesukaran terutama apabila terpaksa melalui laluan berlumpur yang menyebabkan kenderaan mereka tersangkut.

Bagaimanapun, perkara itu tidak melunturkan semangat mereka untuk terus berada dalam operasi SAR tersebut sehingga mangsa terakhir berjaya ditemukan kelak.

"Kalau ada kejadian seperti ini, orang Kampung Air Putih akan sentiasa cuba bekerjasama dengan agensi penyelamat. Selagi tidak jumpa kesemua 10 mangsa selagi itulah kami akan berusaha.

"Ini sebenarnya bukan kali pertama kami terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan. Sebelum ini kami juga terlibat bantu penduduk kampung dalam operasi banjir," katanya.

Media pada Ahad melaporkan sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dan seorang dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan arus kepala air ketika sedang berkelah di jeram tersebut dalam kejadian pada Sabtu.

Lapan mayat telah ditemui sejak hari pertama operasi SAR dijalankan pada Ahad hingga hari ini, iaitu Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati Karim, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Dalam perkembangan terkini, tujuh jenazah kecuali Putri Alleya Maisarah yang ditemukan petang ini, telah dihantar pulang ke kampung mereka pada jam 6.25 petang tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir, Kuantan.

Dua lagi mangsa belum dijumpai iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, tunang kepada Putri Balqis Izzati. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata

'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'

Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3