Sanusi tak kekok kongsi sejarah Kedah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak kekok berkongsi fakta sejarah Kedah, khususnya membabitkan pajakan Pulau Pinang.

Beliau dengan lancar melontarkan fakta sejarah negeri Kedah tanpa merujuk kepada teks mahupun laporan, sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu yang mendakwa Pengarah Pilihan Raya Pas itu buta sejarah.

Muhammad Sanusi berkata, sejarah Kedah memajak Pulau Pinang kepada Francis Light pada 1786 merupakan peristiwa sentimental kepada rakyat mahupun kesultanan negeri ini dan wajar diingati.

“Kesultanan Kedah mempunyai susur galur pemerintahan yang tidak pernah terputus selama 1,000 tahun. Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang memerintah ketika ini adalah Sultan Kedah ke-29.

“Peristiwa penjajahan Light dan penipuan Inggeris ketika Kesultanan Kedah pada tahun 1786, 1821, 1863 dan 1923 berlaku ketika pemerintahan Sultan Kedah ke-20, 21 dan 22. Peristiwa itu tidak jauh pun daripada kita,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Menurutnya, Inggeris ketika itu telah menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Selat.

"Orang Kedah jika baca peristiwa itu akan menangis kerana banyak penderitaan terpaksa dilalui rakyat dan Kesultanan Kedah akibat Pulau Pinang. Selepas perjanjian pajakan, Inggeris janji melindungi Kedah daripada Siam, tetapi Inggeris tak tolong, bagi senjata pula kepada Siam.

"Ketika Perang Musuh Bisik berlaku antara 1786 hingga 1821, pengkaji sejarah anggarkan penduduk Kedah seramai 60,000 orang, tetapi selepas perang penduduk Kedah hanya tinggal 6,000 orang,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata, ketika itu berpuluh ribu rakyat Kedah dibunuh dengan kejam dan disembelih, kanak-kanak pula dihempuk ke pokok selain ada rakyat dihanyutkan dalam perahu yang kemudian dibakar oleh tentera Siam.

“Tak kan nak suruh kita lupa semua penipuan, penindasan, kezaliman hingga Sultan terpaksa tinggal dalam perahu di Kuala Sungai Merbok dan tak boleh buat apa. Sultan tak mahu menyerah kalah dan sanggup dipenggal,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dakwaan Siam pernah menjajah Kedah adalah tidak benar kerana tiada dokumen rasmi menunjukkan Siam mentadbir negeri ini, sebaliknya urusan pemerintahan dilakukan Sultan Kedah sehingga kini.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) ada kata, kalau kita ungkit semua ini, Thailand akan ungkit semula pemilikan mereka ke atas Kedah. Namun semua dokumen sejarah dan penghakiman 1906 dalam kes Tengku Saad yang didakwa menyerang Siam, mendapati Kedah sebuah negeri berdaulat.

"Ketika Siam dikatakan menjajah Kedah sekalipun, segala pentadbiran masih dibuat oleh Sultan Kedah dan ia dibuktikan melalui surat putus kecil (geran tanah) yang ditandatangani Sultan Kedah," jelasnya.

Muhammad Sanusi sekali gus menepis dakwaan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang mengatakan Siam pernah menjajah Kedah dan sepatutnya Siam juga boleh mengambil semula negeri Jelapang Padi itu.

“Tak pernah berlaku dan tidak ada sandaran sama sekali sama ada dokumen ataupun apa-apa perjanjian mengatakan Siam secara efektif menjajah dan memerintah serta memiliki Kedah,” ujarnya.

Mengulas mengenai bayaran ufti yang pernah dibayar Kedah kepada Siam, Muhammad Sanusi memberitahu, pembayaran tersebut hanya berlaku ketika pemerintahan Kerajaan Ayutthaya.

"Kedah bayar ufti kepada Siam, tapi ia berlaku ketika Kerajaan Ayutthaya yang mengamalkan sistem raja bergilir antara negeri di bawahnya. Ketika itu Kelantan dan Terengganu turut menghantar bunga emas tanda persahabatan.

"Kerajaan Ayutthaya juga bersahabat dengan Kerajaan Champa yang melahirkan ulama besar, Sunan Ampel yang kemudian menyebarkan Islam kepada kerajaan Srivijaya di Jawa.

"Kerajaan Ayutthaya kemudian diserang orang Thai dari sebelah utara yang memusnahkan kerajaan itu dan menubuhkan kerajaan baharu sebelum mereka memaksa bunga ufti terus dibayar," katanya.

Sebelum mengakhiri pengkisahan sejarah Kedah, Muhammad Sanusi secara berseloroh berkata kepada wartawan:

“Untuk kuliah sejarah berikutnya, panggil saya pi (pergi) tang (tempat) lain pula.”

ARTIKEL BERKAITAN:'Pulau Pinang itu Kedah punya' - Sanusi

Polis Pulau Pinang terima empat laporan terhadap Sanusi

Jangan pertikai kedudukan Pulau Pinang

[VIDEO] Kenyataan Sanusi: Anwar serah sepenuhnya kepada Peguam Negara

Isu panas dibangkitkan di Dewan Rakyat bakal jadi tumpuan

Pulau Pinang milik Kedah: 'Tiada sebab Sanusi dikenakan tindakan'

Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah tidak berasas - Ramkarpal

Pulau Pinang milik Kedah: Mahfuz saran Sanusi tuntut di mahkamah

Pulau Pinang tidak pernah terpisah dari Kedah

'Berunding selesaikan isu Pulau Pinang-Kedah' - BN Kedah

Pulau Pinang milik Kedah: Sanusi sengaja cetus kontroversi