Empat premis perniagaan warga asing ditutup, disita

GEORGE TOWN – Empat premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di sekitar Tanjung Bungah, Teluk Bahang dan Batu Feringghi diarah tutup serta disita dalam operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Selasa.
Tindakan menerusi Ops Tegas itu dilaksanakan bagi memastikan pengusaha perniagaan mematuhi peraturan pelesenan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
MBPP dalam kenyataannya memaklumkan, operasi berkenaan dijalankan Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan serta Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP.
Menurutnya, empat lokasi yang terlibat ialah Jalan Tanjung Bungah, Jalan Hassan Abbas di Teluk Bahang dan Jalan Batu Feringghi.
“Sepanjang operasi dijalankan, pegawai penguat kuasa mendapati kehadiran individu warga asing di dalam premis berkenaan, selaras dengan maklumat yang dinyatakan dalam notis berkaitan.
“Pemeriksaan turut melibatkan keadaan premis serta aktiviti perniagaan yang dijalankan,” katanya pada Khamis.

Selain penutupan premis, MBPP turut merampas beberapa barangan berkaitan perniagaan termasuk papan iklan, rak besi dan peralatan lain yang disenaraikan dalam inventori rampasan.
"Di sebuah premis di Jalan Batu Feringghi, pihak berkuasa turut merampas tong ais ikan, dua bilah pisau dan sebuah papan pemotong selepas mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti penjualan ikan.
"Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan mengikut syarat lesen dan peraturan berkuat kuasa.
“Penguatkuasaan ini mencerminkan komitmen berterusan MBPP dalam memelihara ketertiban aktiviti perniagaan serta memastikan persekitaran bandar diurus dengan teratur,” ujarnya.

MBPP turut menegaskan tindakan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani ketidakpatuhan terhadap peraturan pelesenan.
Sehubungan itu, semua pengusaha perniagaan di kawasan pentadbiran MBPP diingatkan supaya memastikan premis masing-masing mempunyai lesen yang sah serta mematuhi segala syarat dan ketetapan yang ditetapkan.
Dalam perkembangan berasingan, MBPP mengenal pasti tujuh lokasi pembuangan sampah haram di kawasan Little India di sini, menerusi operasi pemantauan dan kawalan yang dijalankan pada 23 Oktober lalu.
Operasi bermula jam 8 malam itu bertujuan membendung kegiatan pembuangan sampah secara tidak terkawal, selain memelihara kebersihan dan memastikan persekitaran bandar sentiasa teratur.
MBPP berkata, operasi berkenaan diketuai Ahli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perkhidmatan Perbandaran, bersama ahli majlis serta pegawai dan anggota Unit Penguatkuasaan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP.
“Hasil pemantauan yang dijalankan, sebanyak tujuh lokasi longgokan sampah haram dikenal pasti di kawasan berkenaan.
“Penemuan ini mendorong MBPP mempertingkatkan pemantauan dan tindakan kawalan bagi menangani isu pembuangan sampah secara tidak terkawal, sekali gus memastikan kebersihan dan keselesaan kawasan Little India sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pemilik premis perniagaan diingatkan supaya menyediakan tong sampah bersesuaian bagi memastikan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan secara teratur serta mengelakkan sampah dibuang atau ditinggalkan di tempat awam.
MBPP turut menegaskan pemantauan berterusan dan tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan dilaksanakan terhadap pihak yang didapati melanggar peraturan kebersihan.
Menurutnya, kerjasama pemilik premis, peniaga, penduduk dan orang awam amat diperlukan bagi memastikan usaha menjaga kebersihan bandar dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Langkah itu penting bagi memastikan Little India dan seluruh George Town kekal bersih, indah serta selesa untuk dikunjungi, sekali gus memelihara imej bandar raya Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

