IWK siasat punca lubang benam, kerja baik pulih siap 7 November

GEORGE TOWN – Kerja pembaikan kecemasan susulan kejadian lubang benam di Lebuhraya Mayang Pasir, Bayan Baru dijangka selesai pada 7 November ini, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan, siasatan di lokasi kejadian telah dimulakan serta-merta selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kejadian itu petang semalam.
Menurut IWK, langkah mitigasi segera turut dilaksanakan termasuk kerja pembaikan kecemasan bagi memulihkan infrastruktur pembetungan yang terjejas.
“Berdasarkan penemuan awal, kejadian itu dipercayai berpunca daripada sambungan paip yang teralih.
“Paip pembetungan terjejas berukuran kira-kira 300 milimeter (mm) dan terletak pada kedalaman sekitar empat meter selain berusia lebih 30 tahun,” katanya pada Khamis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kejadian lubang benam sedalam kira-kira dua meter itu disedari berlaku pada jam 3.10 petang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol berkata, lubang berukuran kira-kira 9 meter x 8 meter itu berlaku dalam kawasan perumahan Taman Sri Tunas di Bayan Baru.
Tiada mangsa atau kerosakkan kenderaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, IWK berkata, kejadian berkenaan merupakan insiden pertama seumpamanya dilaporkan di kawasan itu dengan tiada rekod aduan terdahulu berkaitan kerosakan sistem pembetungan.
"Bagaimanapun, siasatan terperinci akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain pemantauan rapi dilakukan di lokasi berkenaan.
"Sehingga jam 8 malam semalam (Rabu), keadaan dilaporkan terkawal dan langkah perlindungan segera telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan di kawasan terjejas," ujarnya.
Dalam pada itu, IWK menjelaskan pihaknya menjalankan pemeriksaan berjadual secara berkala sebagai sebahagian daripada pendekatan pengurusan risiko terhadap infrastruktur pembetungan.
"Malah IWK turut melaksanakan pemeriksaan menyeluruh menggunakan kamera litar tertutup dan imbasan radar penembus tanah (GPR) di seluruh Pulau Pinang.
"Usaha itu bertujuan menilai keadaan infrastruktur yang semakin berusia serta mengenal pasti kawasan yang memerlukan kerja-kerja menaik taraf saluran paip pembetungan," katanya lagi.
IWK menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan orang awam sentiasa terpelihara, meminimumkan kesan terhadap alam sekitar serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan bagi memulihkan infrastruktur terjejas dengan segera dan bertanggungjawab.
Tambahnya lagi, pemantauan berterusan akan dilakukan di lokasi kejadian selain sokongan sewajarnya diberikan mengikut keperluan sehingga kerja pemulihan diselesaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

