Warga emas terperangkap banjir kilat diselamatkan

Anggota bomba tiba di lokasi bagi menyelamatkan warga emas yang terperangkap dalam banjir kilat pada pagi Khamis. Foto: Bomba
Anggota bomba tiba di lokasi bagi menyelamatkan warga emas yang terperangkap dalam banjir kilat pada pagi Khamis. Foto: Bomba
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita warga emas berusia 75 tahun diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap di dalam rumahnya yang dinaiki air akibat banjir kilat di Taman Kota Permai, di sini pada Khamis.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan beberapa kawasan perumahan di sekitar lokasi berkenaan dilanda banjir.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa terperangkap di dalam rumahnya yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Ketika tiba di lokasi, komander operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota melaksanakan operasi menyelamat mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada ahli keluarganya yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian memantau keadaan di kawasan berkenaan dan mendapati paras air banjir semakin surut.

Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 11.42 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan paras air banjir didapati semakin surut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!