Jepun, Britain siap siaga simpan bekalan kecemasan

TOKYO - Arahan Jepun dan United Kingdom (UK) supaya rakyat menyimpan bekalan keperluan asas di rumah bagi menghadapi situasi kecemasan mengundang persoalan dalam kalangan masyarakat antarabangsa mengenai 'bencana dahsyat' yang bakal berlaku.
Gesaan itu turut mencetuskan rasa panik dalam kalangan warganet yang membanjiri beberapa platform media sosial dengan pelbagai andaian dan spekulasi serta mempersoalkan situasi sebenar yang mendorong kerajaan kedua-dua negara mengeluarkan arahan tersebut.
Kerajaan kedua-dua negara turut mengeluarkan panduan kesiapsiagaan bagi memastikan isi rumah mampu bertahan sekiranya bantuan kecemasan atau perkhidmatan asas tidak dapat disediakan dengan segera.
Menurut laporan Seoul Economic Daily pada Selasa, Menteri Pengurusan Bencana, Goshi Hosono berkata, gesaan itu dirancang bersempena penubuhan agensi pengurusan bencana baharu pada 2 November ini.
Persediaan tersebut bertujuan membantu penduduk menghadapi kemungkinan bencana berskala besar termasuk gempa kuat di kawasan Nankai Trough dan letusan Gunung Fuji.
Bencana sedemikian berpotensi merosakkan jalan raya dan rangkaian komunikasi, sekali gus melambatkan penghantaran bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Hosono turut menekankan kepentingan menyediakan bekalan makanan, air dan barangan keperluan tandas supaya isi rumah dapat bertahan sementara menunggu bantuan tiba.
Sementara itu, UK melancarkan kempen kesiapsiagaan kecemasan, Be Ready pada 22 Oktober lalu dengan menggesa isi rumah menyediakan bekalan mencukupi untuk sekurang-kurangnya tiga hari.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Kabinet, panduan itu bertujuan membantu orang ramai menghadapi gangguan perkhidmatan asas akibat kejadian seperti cuaca buruk dan serangan siber yang boleh menjejaskan bekalan elektrik, air serta rangkaian telefon dan internet.
Antara keperluan yang disarankan ialah air minuman, makanan tahan lama yang tidak memerlukan penyediaan atau memasak, lampu suluh, bateri tambahan, pengecas mudah alih, radio, wang tunai dan ubat-ubatan penting.
Kerajaan turut menyarankan penyimpanan kira-kira tiga liter air minuman bagi setiap individu sehari selain bekalan tambahan sekiranya diperlukan untuk memasak dan tujuan kebersihan diri. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

