'Kedah mahu nilai semula pajakan, bukan tuntut Pulau Pinang'

Sanusi menunjukkan dokumen berkaitan pajakan Pulau Pinang pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Sanusi menunjukkan dokumen berkaitan pajakan Pulau Pinang pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Tidak timbul isu Kedah mahu menuntut semula Pulau Pinang, sebaliknya hanya meminta kerajaan Persekutuan membuat penilaian semula pajakan mengikut kadar semasa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun naratif yang dimainkan pihak tertentu berbeza kononnya rakyat Pulau Pinang akan kehilangan negeri dan sengaja dimainkan bagi memberi persepsi negatif.

Menurutnya, isu berkenaan turut dimaklumkan melalui surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan untuk menilai kadar semasa pajakan, namun belum mendapat maklum balas.

“Perkara yang terkandung dalam surat berkenaan antara penjelasan yang saya berikan kepada polis Bukit Aman yang hadir ke pejabat untuk mengambil keterangan berhubung isu terbabit.

“Selain dokumen yang saya berikan kepada polis, saya juga sertakan konsistensi saya dalam urusan pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar, iaitu tiga surat kepada Perdana Menteri untuk bertemu dan berunding beberapa perkara, antaranya bayaran pajakan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai memberi keterangan lebih 30 minit berkaitan isu Pulau Pinang milik Kedah kepada polis Bukit Aman di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan perenggan 4.2 dalam surat tersebut, dinyatakan antara perkara yang harus dirundingkan ialah bayaran pajakan yang perlu dinilai semula mengikut kadar semasa.

“Berdasarkan perjanjian sebelum ini, bayaran pajakan Pulau Pinang dibayar RM10,000 setahun. Bermula tahun 2018, dibayar RM10 juta dan RM10,000. Yang hendak dirundingkan dengan Persekutuan ialah kadar semasa bayaran pajakan.

“Itu kerja saya sebagai Menteri Besar disertakan surat, bersopan dan beradab. Sedangkan jawapan Perdana Menteri di Parlimen semalam dakwa Menteri Besar lain sopan dan beradab dalam hubungan negeri dan persekutuan. Saya tak tahu ukuran diambil dari mana tapi sepanjang hubungan kerajaan dengan kerajaan, saya ikut adab dan tata kelola,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Persekutuan seharusnya bijak membezakan tuntutan kerajaan negeri sebagai tanggung jawab kerajaan Pusat, dengan serangan politik yang diucapkan beliau dalam ceramah.

“Fungsi sebagai Menteri Besar lain. Ucapan dalam ceramah sebagai kempen pilihan raya itu sebagai pengarah pilihan raya parti. Ia dua situasi berbeza. Masa pakai topi pengarah pilihan raya, ucapan kita berkaitan parti dalam sistem demokrasi. Saya rasa semua parti di Malaysia buat perkara sama.

“Fungsi saya berbeza dengan dua lagi Menteri Besar Pas, sebab saya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya yang bersaing di medan politik. Jadi, penilaian yang diberikan tidak tepat dan tidak adil untuk saya,” jelasnya.

Muhammad Sanusi tegaskan, beliau tidak khuatir dengan siasatan polis terhadap dirinya kerana mempunyai hujah dan bukti atas setiap kenyataan yang dibuat.

“Saya telah beri kerjasama yang baik dalam siasatan polis. Saya tak bimbang kerana semua kenyataan saya ada sandaran berdasarkan dokumen-dokumen yang saya serahkan kepada polis,” katanya.

Beliau berharap Perdana Menteri mendengar penjelasan yang beliau kemukakan dengan teliti dan memahami isu yang dibangkitkan.

“Ketika saya bertemu beliau di LIMA 2023 dan sambutan Aidilfitri Madani di Alor Setar, saya bersederhana. Watak saya memang macam itu, orang Kedah asli, bahasa Kedah.

"Saya rasa Anwar faham, tetapi buat-buat tak faham kerana dia bimbang dengan DAP. Semua tindakan beliau kerana dia risaukan DAP. Kalau dia buat pertimbangan dengan adil, saksama sepertimana yang disumpahkan sewaktu mengangkat jawatan Perdana Menteri, beliau akan layan surat saya dengan adil, walaupun berbeza parti politik,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak akan berputus asa dan akan terus membuat rundingan untuk manfaat negeri itu.

“Saya akan cuba bertemu Anwar, saya tak boleh patah hati atau koyak. Saya mesti tabah untuk membawa negeri ini seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

“Fokus saya mahu naikkan bayaran pajakan yang sepatutnya, kemungkinan RM100 juta setahun, namun penilaian sebenar harus dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH),” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan tidak pernah mengeluarkan kenyataan mohon dipinda Perlembagaan negara bagi membolehkan Pulau Pinang kembali kepada Kedah.

“Saya tak suruh pinda pun. Mereka salah tafsir, saya tak pernah buat kenyataan seperti itu. Perbincangan di Parlimen itu atas persefahaman yang salah dan mereka rujuk perkara yang salah. Lain kali tanya saya dulu.

“Tak timbul isu nak tuntut kembali Pulau Pinang, nak nilai semula pajakan sahaja dan bayar harga semasa. Naratif yang dimainkan untuk tujuan politik DAP bagi menakutkan penyokong DAP bahawa kalau kamu tak sokong DAP, Pulau Pinang akan diambil alih oleh Kedah.

"Itu naratif politik DAP, politik perkauman sempit untuk menakutkan orang-orang Cina khususnya. Orang Melayu pun takut pada DAP tak tentu punca, rugilah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:'Pulau Pinang itu Kedah punya' - Sanusi

Polis Pulau Pinang terima empat laporan terhadap Sanusi

Jangan pertikai kedudukan Pulau Pinang

[VIDEO] Kenyataan Sanusi: Anwar serah sepenuhnya kepada Peguam Negara

Isu panas dibangkitkan di Dewan Rakyat bakal jadi tumpuan

Pulau Pinang milik Kedah: 'Tiada sebab Sanusi dikenakan tindakan'

Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah tidak berasas - Ramkarpal

Pulau Pinang milik Kedah: Mahfuz saran Sanusi tuntut di mahkamah

Pulau Pinang tidak pernah terpisah dari Kedah

'Berunding selesaikan isu Pulau Pinang-Kedah' - BN Kedah

Pulau Pinang milik Kedah: Sanusi sengaja cetus kontroversi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!