Anggota polis Kedah di sempadan wajib pakai jaket kalis peluru

Adzli pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Jumaat.
Adzli pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR – Polis Kedah mewajibkan pemakaian jaket kalis peluru kepada anggota yang bertugas di kawasan sempadan susulan insiden tembakan ke atas kenderaan komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam pada Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, langkah itu diambil sebagai penambahbaikan segera bagi memastikan tahap keselamatan anggota sentiasa berada pada tahap optimum ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, insiden yang berlaku berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam membuktikan ancaman jenayah rentas sempadan tidak boleh dipandang ringan.

“Saya dah keluarkan arahan, kita tengok ancaman yang sebegini kita wajibkan pemakaian jaket kalis peluru (anggota bertugas di Sempadan Bukit Kayu Hitam).

"Kita tidak akan gentar, kita tak akan berundur walau setapak dengan ancaman yang bagi saya cuba sebagai menakut-nakutkan. Kita akan bertindak lebih agresif bagi memastikan tiada lagi kegiatan haram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Jumaat.

Jelas Adzli, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian berkenaan disebabkan ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan tegas penguatkuasa sehingga menjejaskan aktiviti penyeludupan haram yang dilakukan mereka.

Menurutnya, beberapa siri rampasan besar berjaya dilaksanakan sebelum ini termasuk rampasan 100 tan beras, rampasan kaskas babi dan mematahkan kemasukan lebih 100 migran.

"Rampasan-rampasan itu melibatkan kerugian yang banyak, ada melebihi RM1 juta jadi itu antara motif mereka untuk menakutkan dan merencatkan tindakan penguatkuasa," ujarnya.

Pada Rabu lalu, kenderaan jenis Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dua individu bermotosikal di susur masuk Masjid Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan:

Dua das tembakan dipercayai dilepaskan menggunakan senjata semi automatik sebelum suspek melarikan diri.

Susulan kejadian itu, seramai tujuh suspek termasuk seorang wanita warga Thailand berjaya ditahan dan direman sejak Rabu untuk membantu siasatan.

Ringkasan AI

  • Polis Kedah mewajibkan pemakaian jaket kalis peluru bagi anggota bertugas di kawasan sempadan
  • Langkah ini diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan anggota
  • Ancaman jenayah rentas sempadan dianggap serius menyusul insiden tembakan
  • Polis tidak akan gentar menghadapi ancaman dan akan bertindak lebih agresif terhadap kegiatan haram
  • Beberapa kejayaan rampasan besar telah dilakukan sebelum ini termasuk rampasan 100 tan beras dan kemasukan migran haram

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!