Bina kolam renang kediaman perlu ada kebenaran PBT

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Rumaizi)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Rumaizi)
A
A
A

IPOH - Binaan kekal kolam renang di kawasan kediaman perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pemilik kediaman perlu mengemukakan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) sebelum ia dapat diteruskan.

"Sekiranya pembinaan kolam renang secara binaan kekal dan binaan melebihi 1.20 meter tinggi dinding, maka perlu dapatkan kebenaran daripada MBI.

"Prosedur diperlukan adalah dengan mendapatkan kebenaran merancang sebelum proses pelan bangunan diteruskan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa insiden lemas yang berlaku di kolam renang kediaman di Ipoh.

Pada 26 April lepas, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemukan lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun.

Terbaharu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas dalam kolam renang ketika mangsa bersama ibu bapanya menziarahi ahli keluarga.

Mengulas lanjut, Rumaizi berkata, dalam kes sebegitu, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemilik kediaman.

"Tiada arahan dikeluarkan bagi kolam renang kediaman kerana kebanyakan kes berlaku disebabkan kelemahan pemantauan daripada penjaga," katanya.

Polis sebelum ini memaklumkan, empat kes lemas telah direkodkan melibatkan mangsa kanak-kanak di Ipoh, tahun ini berpunca daripada kegagalan ibu bapa yang membiarkan kanak-kanak jagaan tanpa pengawasan hingga menyebabkan kemalangan jiwa.

Kes berkenaan termasuklah kejadian dua beradik masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun yang lemas ketika melakukan aktiviti renang selain seorang kanak-kanak lelaki autism berusia empat tahun yang meninggal dunia akibat lemas dalam kolam renang di sebuah taska.