Budak perempuan lemas dalam kolam renang

Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemukan lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun, pada Selasa. - Gambar hiasan 123rf
Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemukan lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun, pada Selasa. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

IPOH - [KEMAS KINI] Ziarah sebuah keluarga berakhir dengan tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemukan lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat awal diterima daripada pihak hospital sekitar jam 10.30 malam membabitkan kematian mangsa.

"Siasatan dijalankan dan mendapati tempat kejadian merupakan sebuah kolam renang kanak-kanak di rumah datuk mangsa.

"Semasa kejadian, mangsa bersama kedua-dua ibu bapanya berada di rumah berkenaan kerana menziarahi ahli keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa bagaimanapun ditemui bapanya dalam keadaan terapung sekitar jam 8.45 malam.

"Bapa mangsa membawanya ke Hospital Pantai bagi menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

"Bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian mangsa adalah mati lemas," katanya.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Polis menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.