Elak aktiviti di lereng bukit, tebing sungai

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menasihati orang ramai yang ingin beriadah di negeri ini untuk tidak menjalankan aktiviti perkhemahan di lereng-lereng bukit kerana dikhuatiri terdedah kepada risiko tanah runtuh ketika ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, orang perseorangan atau kumpulan juga diminta mengelak daripada menjalankan aktiviti perkhemahan mahupun rekreasi di kawasan seperti lata atau air terjun.

Menurutnya, risiko tanah runtuh mahupun kepala air boleh berlaku pada bila-bila masa memandangkan ketika ini musim hujan.

"Semua tempat yang mempunyai risiko tanah runtuh di mana-mana kawasan lereng bukit, tanah tinggi, cerun, lata air terjun adalah berbahaya untuk dikunjungi ketika ini.

"Kerajaan negeri menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu setiap hari," katanya kepada Sinar Harian menerusi WhatsApp pada Sabtu.

Saarani berkata, orang ramai juga perlu elakkan diri atau kumpulan daripada sebarang aktiviti yang berisiko tinggi di kawasan bencana seperti banjir, tanah runtuh, ribut, ombak besar dan sebagainya.

SZE YEE
SZE YEE

Sementara itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee memaklumkan pihaknya akur dengan arahan kerajaan persekutuan supaya semua tapak berisiko tinggi seperti di cerun dan tepi sungai untuk menghentikan operasi tapak perkhemahan serta rekreasi untuk sementara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, agak sukar untuk memberi jaminan keselamatan bagi tapak tapak-tapak perkhemahan mahupun kawasan rekreasi sedia ada disebabkan taburan hujan diterima kebelakangan ini amat tinggi.

Jelasnya, sebarang penguatkuasaan perlesenan dan operasi tapak perkhemahan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan jika tidak mematuhi peraturan.

Dalam kejadian pada pagi Jumaat, media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh dengan 21 mangsa daripadanya meninggal dunia manakala 12 lagi masih hilang.