Aidilfitri: Orang ramai bimbang Lebuhraya Karak sesak teruk

Aliran trafik lebuhraya di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dijangka meningkat pada musim perayaan. (Gambar kecil dari kiri: Aqil Irfan Amiriza, Nur Atikah dan Muhammad Nor Azlan)
Aliran trafik lebuhraya di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dijangka meningkat pada musim perayaan. (Gambar kecil dari kiri: Aqil Irfan Amiriza, Nur Atikah dan Muhammad Nor Azlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai bimbang kesesakan teruk boleh berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dalam perjalanan pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri nanti susulan penutupan jalan di Gua Musang.

Seorang pesara kerajaan, Muhamad Nordin Darus, 63, berkata, beliau yang bakal pulang ke kampung di Bachok, Kelantan mengambil keputusan bertolak empat hari awal sebelum raya bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Memang bimbang dan stres jika terperangkap lama dalam kesesakan. Sebelum ini saya pernah terperangkap selama 16 jam dan ia sangat memenatkan.

"Tahun ini saya akan bertolak dari Kuala Lumpur ke Kelantan seawal 3 atau 4 pagi sebab kalau terlewat dari tempoh itu memang akan terperangkap dalam kesesakan yang teruk," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail memaklumkan Gua Musang akan mengalami kesesakan yang lebih teruk pada waktu perantau pulang menjelang Aidilfitri nanti berbanding sekarang, jika Jalan Persekutuan FT2747 di daerah itu tidak ditutup.

Beliau berkata, penutupan jalan baharu dari simpang hospital sehingga jambatan Taman Damar itu bertujuan memberi kelancaran trafik pada waktu berkenaan.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, perantau yang pulang untuk berhari raya di Kelantan masih mempunyai beberapa pilihan jalan bagi mengelakkan kesesakan di Gua Musang.

Menurutnya, pengguna jalan raya jangan hanya bergantung kepada laluan itu kerana ada beberapa laluan lain untuk balik kampung di Kelantan termasuk Simpang Pulai dan Lebuh Raya Pantai Timur.

Sementara itu, mahasiswa dari Universiti Sains Malaysia, Nur Atikah Abdullah, 23, berkata, dia mengambil inisiatif pulang beraya di kampung halaman lebih awal menggunakan kenderaan sendiri bersama rakan-rakan lain.

"Seperti diketahui ramai, Pantai Timur terutama Kelantan akan mengalami kesesakan lalu lintas teruk terutama pada musim perayaan, jadi kami akan balik awal dengan berkongsi naik kereta (car pooling) dengan rakan sama negeri," ujarnya.

Bagi pelajar universiti tempatan, Muhammad Nor Azlan Yusof berkata, sudah menjadi lumrah dan kebiasaan apabila menjelang perayaan sememangnya akan berlaku masalah kesesakan terutama di kawasan Gerik sehinggalah Jeli sebelum memasuki kawasan Terengganu.

"Saya elakkan daripada berhenti mana-mana tempat dan merancang meneruskan perjalanan satu hala sahaja ke Dungun supaya tidak mengambil risiko lebih lama di kawasan lebuh raya," ulasnya.

Berkongsi pandangan sama, CT Faizah Abdul Rahman, 24, berkata, alternatif dilakukan bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dengan membeli awal tiket pengangkutan awam seperti bas.

"Selain itu, mereka yang mempunyai kenderaan sendiri digalakkan pulang bersama dengan rakan-rakan sekampung bagi mengurangkan kenderaan di atas jalan raya," katanya.

Seorang lagi pelajar universiti tempatan, Aqil Irfan Amiriza, 23, melahirkan rasa bimbang mengadapi sekali lagi kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung susulan terdapat jalan yang ditutup menjelang Hari Raya.

"Jadi antara alternatif boleh dilakukan dengan pulang lebih awal ke kampung mahupun menggunakan pengangkutan awam seperti bas atau kapal terbang serta guna jalan selain laluan Gua Musang jika pulang ke Kelantan," jelasnya.