Buka kaunter aduan tepi padang

IPOH - Empat wakil rakyat bersama ahli majlis dan ketua kampung dalam kawasan Parlimen Gopeng mengambil inisiatif membuka kaunter aduan secara terbuka di tepi padang awam menerusi Program Temu Rakyat Parlimen Gopeng yang berlangsung di Padang Awam Taman Lapangan Jaya, di sini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, program berkenaan merupakan inisiatif julung kali diadakan dan akan dilaksanakan secara berterusan setiap bulan dengan lokasi yang berbeza melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gopeng iaitu Sungai Rapat, Teja dan Simpang Pulai.
Menurutnya, pendekatan turun padang secara fizikal itu bertujuan menghimpunkan semua pemegang jawatan termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa sempadan.
"Selepas tiga tahun, kita lihat semua pihak sudah ada pengalaman, jaringan dan sumber yang mencukupi.
"Jadi kita kumpulkan semuanya di satu tempat supaya rakyat boleh terus berurusan, membuat aduan dan mendapatkan maklumat berkaitan dasar kerajaan negeri serta persekutuan,” katanya pada sidang media selepas program berkenaan.
Hadir sama ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Teja, Sandrea Ng dan ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi.
Kar Hing berkata, program itu bukan sekadar menerima aduan awam tetapi turut berperanan sebagai pusat sehenti dengan penglibatan kira-kira 10 agensi kerajaan termasuk Jabatan Penjara, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Zakat Perak Al-Ridzuan dan Klinik Guaman.
Jelasnya, setiap lokasi penganjuran akan mempunyai tema berbeza dan bagi program kali ini, Jabatan Penjara dibawa bagi memberi pendedahan serta kesedaran khususnya berkaitan isu buli dalam kalangan masyarakat dan golongan muda.
"Kaunter aduan ini adalah acara teras kerana inilah ‘core business’ wakil rakyat untuk berjumpa rakyat, memahami masalah mereka dan memastikan setiap aduan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan," katanya.
Sementara itu, Sandrea berkata, program Temu Rakyat memberi peluang kepada masyarakat memahami pelbagai inisiatif kerajaan yang disediakan melalui Belanjawan Persekutuan dan negeri khususnya melibatkan kebajikan serta sosioekonomi rakyat.
Menurutnya, pendekatan menghimpunkan agensi kerajaan secara langsung di lapangan dapat membantu rakyat mengenali program, skim dan geran yang ditawarkan, termasuk kaedah permohonan melalui platform digital seperti laman web dan aplikasi.
"Melalui program ini juga, kita mahu memperkasakan demokrasi di peringkat akar umbi dengan memastikan wujud akauntabiliti dalam kalangan pemegang jawatan termasuk Ahli Majlis dan JPKK dalam menyelesaikan isu rakyat,” katanya yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu turut menjadi penanda aras dalam menilai keupayaan serta keberkesanan peranan pemegang jawatan lantikan dalam mendekati masyarakat dan melaksanakan dasar kerajaan dengan lebih berkesan.
Ringkasan AI
- Empat wakil rakyat bersama ahli majlis dan ketua kampung di Gopeng membuka kaunter aduan di tepi padang awam
- Program Temu Rakyat Parlimen Gopeng ini adalah inisiatif pertama yang diadakan dan akan diulang setiap bulan di lokasi berbeza
- Tujuan program adalah untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan mengumpulkan pemegang jawatan untuk berinteraksi langsung dengan masyarakat
- Program tersebut bertindak sebagai pusat sehenti dengan penglibatan kira-kira 10 agensi kerajaan
- Ini menyediakan platform untuk rakyat memahami dan mengakses pelbagai inisiatif, program, dan bantuan kerajaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

