‘Roh besi’ Raja Shahriman terus hidup

KUALA KANGSAR - Di bengkel kecil di tepi sebuah kediaman di Bukit Chandan, dentingan besi panas masih bergema seperti tiga dekad lalu.
Di sinilah lahirnya karya-karya besar yang pernah menggegarkan dunia seni tempatan dan antarabangsa hasil tangan Raja Shahriman Raja Aziddin, 59.
Artis arca besi kelahiran Kuala Kangsar itu masih setia mengerah kudrat, membanting tulang membentuk besi menjadi arca-arca sarat makna di bengkel yang sama.
Bagi Raja Shahriman, seni tempa besi bukan sekadar kerjaya, tetapi jantung hidup yang terus berdenyut.
Perjalanan beliau dalam dunia seni bermula sejak zaman persekolahan di Sekolah Rendah Clifford dan Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar.

Minat itu kemudiannya diasah secara formal apabila melanjutkan pengajian Diploma Senilukis dan Senireka di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) pada tahun 1986 dengan pengkhususan Seni Arca, sebelum menamatkan pengajian pada 1990.
Beliau turut mendalami seni pertukangan besi tradisional bersama dua tukang pandai besi dari Perak dan Pahang, yang membuka kefahaman mendalam tentang ‘roh’ besi serta falsafah tempa tangan yang menjadi identiti karyanya hingga kini.
Bekas pensyarah Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) itu berkata, menghasilkan sebuah arca besi bukan kerja sehari dua kerana setiap bahagian perlu dibakar, diketuk, dilentur dan dicantumkan satu persatu secara manual.

“Saya tidak guna teknik tuangan atau casting. Semua arca ini ditempa menggunakan teknik tradisional, sama seperti membuat keris,” katanya.
Menurutnya, penggunaan mesin hanya terhad untuk mengetuk besi tebal bagi mendapatkan bentuk asas, manakala selebihnya dihasilkan sepenuhnya dengan tangan.
Jelas beliau, tempoh penghasilan karya bergantung kepada saiz dan tahap perincian, dengan ada arca siap dalam tempoh seminggu dan ada juga yang mengambil masa sehingga berbulan-bulan.
“Semakin besar dan kompleks arca itu, semakin lamalah prosesnya. Semua ini dibuat ketika besi masih panas. Ia kerja fizikal, sangat manual,” katanya.
Raja Shahriman berkata, hanya dirinya sahaja yang membuat seni arca tempa besi di Malaysia.

Sepanjang lebih 30 tahun berkarya, beliau telah menghasilkan hampir 400 unit arca daripada saiz kecil hinggalah struktur berskala besar.
Antara karya awamnya termasuk arca setinggi 7.5 meter di Waterfront Kuantan serta karya di Bangunan Public Bank di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur; Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Galeri Sejarah Menteri Besar-Menteri Besar Perak di Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Pengiktirafan antarabangsa diterima apabila dua karyanya ditempatkan di Fukuoka Art Museum, Jepun pada 1996, dengan arca melambangkan kerusi raja terjual pada harga RM15,000 dan RM25,000 semasa pameran solo pertamanya.

Karya beliau turut dimiliki pengumpul seni dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Singapura, Thailand dan Jerman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

