Lima lelaki didakwa palsukan dokumen sebut harga kantin

Enam kontraktor termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Khas Rasuah pada Jumaat, atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah, lima tahun lalu. - Foto Bernama
Enam kontraktor termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Khas Rasuah pada Jumaat, atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah, lima tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Lima lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan sebut harga menyewa dan menguruskan kantin sekolah di Semporna, manakala seorang wanita turut didakwa bersubahat.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat atas pertuduhan masing-masing yang dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Semporna pada 2017.

Mohd Hafiz Irawan, 34, yang bekerja di bahagian penyelenggaraan sebuah syarikat, menghadapi tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada 26 Oktober 2017 iaitu penyata akaun Maybank sebuah syarikat bertarikh 30 Jun, 31 Julai dan 31 Ogos pada tahun sama bagi mendapatkan sebut harga menyewa dan menguruskan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lalang.

Mohd Hafiz juga dituduh menggunakan dokumen palsu pada 26 Oktober 2017 iaitu salinan lesen berniaga sebuah syarikat bertarikh 3 Januari 2017 untuk tujuan sama.

Seorang lagi tertuduh, Masri Nulhadi, 45, yang tidak bekerja, menghadapi tiga pertuduhan menggunakan penyata akaun Maybank palsu sebuah syarikat bertarikh 30 Jun, 31 Julai dan 31 Ogos pada tahun sama bagi mendapatkan sebut harga menyewa dan menguruskan kantin SK Gelam-Gelam.

Isterinya, Asmah Moong, 42, seorang suri rumah, menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengannya.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh iaitu Abdul Jalil Mohammad Hassan, 52, yang tidak bekerja; pengendali bot Mohd Nasir Muhammad, 34; dan pembantu kedai runcit Darwin Kembal, 32, masing-masing menghadapi tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu, juga bagi tujuan mendapatkan sebut harga menyewa dan menguruskan kantin sekolah.

Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 2 Disember ini bagi Mohd Hafiz dan Mohd Nasir, manakala yang lain ditetapkan pada 1 Disember ini.

Pegawai Pendakwa, Rekhraj Jaswant Singh mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama