40 pegawai KPDN dihantar, pantau harga barang di LIMA 2023

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menghantar kira-kira 40 pegawainya ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) bagi memastikan isu kenaikan harga tidak berlaku.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini bagi menjaga nama serta imej baik Malaysia supaya tiada sesiapa mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang, penginapan dan perkhidmatan menerusi acara antarabangsa itu.

"KPDN siap sedia di LIMA 2023 untuk menjaga nama baik Malaysia dan saya berharap semua seperti peniaga, pemain industri hotel, inap desa dan pengangkutan untuk jaga nama baik Malaysia dan beri khidmat terbaik.

"Mereka juga akan meraih keuntungan yang sepatutnya menerusi acara LIMA 2023 yang sangat berprestij ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2023 di sini pada Khamis.

Pameran LIMA 2023 dijadual berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei ini dengan kali terakhir pameran dwitahunan itu diadakan adalah pada 2019 dan tidak diadakan pada 2021 susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu.

Lebih 600 syarikat dari 60 negara dijangka mengambil bahagian pada LIMA kali ini berbanding 400 syarikat pada edisi 2019.

Mengulas khabar angin bahawa bekalan gula tidak mencukupi, Salahuddin berkata, perkara itu tidak benar dan meminta rakyat untuk tidak membuat pembelian panik kerana bekalan makanan itu mencukupi.

Berhubung isu tular di media sosial mengenai jualan tiket konsert Coldplay yang dijual lebih RM40,000, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan tentang perkara itu.

"Rakyat Malaysia perlu bijak, jangan beli tiket daripada ulat tiket tetapi mesti beli dengan ejen yang sah,” katanya dan menambah peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 boleh diguna pakai sekiranya ada yang tertipu dengan penjualan tiket itu.

Coldplay, kumpulan muzik terkemuka dunia, dijadual menjayakan konsert dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour mereka di Malaysia pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Bernama