Kes tuntutan palsu bekas MB Perlis dipindah ke Mahkamah Sesyen KL

Laporan Sinar Harian pada April lalu.
Laporan Sinar Harian pada April lalu.
A
A
A

KANGAR - Prosiding lima kes tuntutan palsu perjalanan ke luar negara sebanyak RM1.185 juta membabitkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur untuk sebutan semula pada 9 Jun hadapan.

Permohonan pemindahan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) di hadapan Hakim Norsalha Hamzah ketika prosiding sesi sebutan semula kes itu.

Azlan, 64, yang diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff turut hadir dalam prosiding berkenaan.

Permohonan pemindahan prosiding kes juga tidak mendapat bantahan daripada kedua-dua peguam mewakili Azlan.

Sebutan semula kes itu akan dilaksanakan di hadapan Hakim Azura Alwi dengan menggabungkan satu lagi prosiding kes beliau yang membabitkan lima lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar pada 10 April lepas atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara sebanyak RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Perlis.

Pada 12 April pula, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu sekali lagi mengaku tidak bersalah lima pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM1.06 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.