Lima lelaki didakwa culik jurujual demi RM1.12 juta

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Demi mendapatkan wang tebusan RM1.12 juta, lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, kerana menculik dan mengurung seorang jurujual pada April lalu.

Tertuduh, Suhaimi Mat Zin, 41, Wong Guo Song, 33, Yong Zi Hui, 25, Zulkarnain Ramli, 46, dan Muhammad Azam Hatan, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan itu berada bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama tertuduh yang masih bebas didakwa telah menahan, abduksi dan mengurung seorang lelaki, Lau Jia Kin, 39, bertujuan mendapatkan wang tebusan RM1,125,550 di Jalan Mesra Ria, Bandar Sri Petaling, Brickfields di sini, pada jam 10.30 malam, 29 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan manakala empat tertuduh kecuali Muhammad Azam diwakili peguam, Muhammad Ashraff Mohd Diah, Izwan Arif Ibrahim, Nasir Nordin dan Azinuddin Karim.

Majistret menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.