Empat kongsi gelap edar dadah

Kamarul Zaman (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah yang dibuat pada tahun ini.
Kamarul Zaman (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah yang dibuat pada tahun ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Johor mengesan kegiatan pengedaran dadah melibatkan empat kongsi gelap di negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kumpulan tersebut ialah Geng 36, Geng 04, Geng 21 dan Geng Jin Jee Tong.

Menurutnya, berdasarkan statistik kes tangkapan yang direkodkan tahun ini sehingga Jun, seramai 7,070 orang ditahan termasuk 143 warga asing atas pelbagai kesalahan, selain rampasan dadah 2,270 kilogram (kg) dengan nilai RM10.09 juta.

“Daripada jumlah tangkapan ini, ada antara tangkapan tersebut mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Ini adalah kerana ke-untungan dan pulangan lumayan menyebabkan ada geng kongsi gelap merekrut ahli baharu serta memperdayakan mereka menjadi pengedar dadah bagi mengaut keuntungan untuk kumpulan mereka.

“Bagaimanapun, kegiatan geng kongsi gelap ini tidak begitu serius dan berjaya dikawal selepas ditumpaskan dalam beberapa siri operasi serta serbuan polis,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Mengenai modus operandi sindiket dadah di Johor, Kamarul Zaman berkata, mengikut rekod tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, taktik pengedaran yang dikesan adalah mendapatkan bekalan dari Lembah Klang, utara dan pantai Timur.

Menurut Kamarul Zaman, pengedaran dilakukan dengan menjadikan rumah atau apartmen yang mempunyai ciri gated and guarded sebagai stor simpanan dadah sebelum diedar kepada pelanggan.

Artikel Berkaitan:

“Sindiket juga menggunakan khidmat penghantar dan penjaga stor bagi menguruskan aktiviti pengedaran tersebut.

“Kegiatan penyeludupan dadah ke Indonesia pula berlaku di daerah yang mempunyai pesisir pantai seperti Muar, Batu Pahat, Pontian serta Kota Tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau, sindiket akan menggunakan khidmat tekong darat dan tekong laut bagi penghantaran berkala dadah ke Indonesia.

Ujarnya lagi, dadah yang diseludup itu menjadikan rumah atau stor sebagai transit sebelum dihantar ke perairan antarabangsa Malaysia-Indonesia melalui jalan tikus atau jeti-jeti haram.

“Selain itu, polis juga melakukan pemeriksaan setiap hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bagi mengesan sekiranya terdapat cubaan penyeludupan dadah melalui udara,” katanya.

Menurut Kamarul Zaman, Polis Johor akan sentiasa berterusan menggunakan undang-undang pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 yang dikhususkan bagi siasatan yang menjurus kepada kegiatan pengedaran dadah, selain tindakan perintah tahanan dan sekatan selama dua tahun di pusat pemulihan.

“Polis juga mempergiat usaha memerangi penyalahgunaan dadah dengan menguatkuasakan peruntukan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman sebat dan penjara

“Tindakan berterusan juga dilaksanakan dengan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap pengedar dadah,” katanya.

Selain itu, tegas beliau, operasi seperti Op Sarang, Op Parti Liar dan Op Pusat Hiburan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah khususnya di Johor.