Empat lelaki edar dadah bernilai RM4.06 juta diberkas

Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Noorsiah)
Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Noorsiah)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di Lembah Klang, pada Selasa.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan empat lelaki berusia 37 hingga 58 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM4.06 juta.

"Kita merampas dadah jenis syabu seberat 62 kilogram (kg), methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (12.23 kg), ketamin (2.18 kg), pil erimin 5 (344 gram) dan sepucuk pistol jenis Sig Sauer serta 180 butir peluru," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noorsiah berkata, dadah yang dirampas ini diperoleh dari negeri di utara Semenanjung Malaysia dan dihantar ke Kuala Lumpur.

"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak Mac tahun lalu, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan jalan darat sebagai laluan penyeludupan dan menjadikan kediaman sebagai stor penyimpanan dadah

sebelum diedarkan," katanya.

Beliau berkata, saringan awal urin yang dijalankan mendapati kesemua suspek negatif dadah.

"Semakan rekod jenayah mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,

"JSJN telah menyita pelbagai aset sindiket antaranya lima buah kenderaan, barang kemas, jam tangan dan wang tunai dianggarkan bernilai RM 721,800," katanya.

Noorsiah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjat Api penalti lebih berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjat Api 1960.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa bagi membantu siasatan," katanya.