Kawal mercun, bunga api demi ketenteraman awam - KPN

Mohd Khalid
Mohd Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengawalan permainan mercun dan bunga api yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara serta keselamatan masyarakat sentiasa diutamakan khususnya sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM sebagai agensi penguat kuasa utama bertanggungjawab mengawal aspek pengimportan, penjualan, penyimpanan dan permainan mercun serta bunga api mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, kawalan tersebut dilaksanakan berdasarkan Akta Bahan Letupan 1957, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Pendekatan pengawalan yang dilaksanakan oleh PDRM adalah atas faktor ketenteraman awam dalam memastikan keselamatan masyarakat diutamakan.

"Langkah ini juga untuk mengelakkan sebarang risiko kecederaan, kebakaran dan gangguan komuniti yang sering dikaitkan dengan pembakaran mercun secara tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, mercun dikategorikan sebagai bahan letupan di bawah Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957 kerana komponennya merangkumi bahan yang boleh meletup atau menghasilkan bahan kimia yang menghasilkan bunyi letupan, cahaya, asap atau gabungan kesan visual serta bunyi.

Menurutnya, menerusi Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025, sebanyak 45 jenis bunga api iaitu 'Pop-Pop' dan 'Happy Boom' dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan oleh Menteri.

Bagaimanapun, jelas beliau, kebenaran tersebut masih tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkaitan serta perlu mematuhi spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, katanya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan berkaitan bahan letupan.

Artikel Berkaitan:

"Antara peruntukan yang boleh dikenakan termasuk Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan kesalahan menyebabkan letupan yang boleh membahayakan nyawa atau harta, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

"Selain itu, Seksyen 7 Akta sama melibatkan kesalahan memiliki, mengawal, menggunakan atau mengendalikan bahan letupan dengan niat membahayakan nyawa atau harta, yang turut memperuntukkan hukuman sama.

"Seksyen 8 pula melibatkan kesalahan membuat atau memiliki bahan letupan bagi tujuan yang tidak sah di sisi undang-undang dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Tambah beliau, di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, kesalahan memasang bunga api juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya.

Mohd Khalid berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan PDRM merupakan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya bermain bunga api di kawasan lapang serta sentiasa mengamalkan langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Orang ramai juga diseru supaya terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang dalam memastikan sambutan Tahun Baharu Cina diraikan dalam suasana harmoni dan selamat," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Pengawalan permainan mercun dan bunga api oleh PDRM bertujuan menjamin ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat sepanjang Tahun Baharu Cina
  • Kawalan dilaksanakan berdasarkan Akta Bahan Letupan 1957 dan perundangan berkaitan untuk mengelak kecederaan dan gangguan komuniti
  • Mercun dikategorikan sebagai bahan letupan yang komponennya boleh meletup atau menghasilkan bunyi dan visual tertentu
  • Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025 membenarkan 45 jenis bunga api tertentu dengan permit yang sesuai
  • Tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap individu yang melanggar peraturan berkaitan bahan letupan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!