Pasangan kekasih ditahan edar dadah hampir RM70,000

Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dadah dalam bungkusan yang dirampas daripada sepasang kekasih di Ketereh.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dadah dalam bungkusan yang dirampas daripada sepasang kekasih di Ketereh.
A
A
A

KOTA BHARU - Sepasang kekasih ditahan selepas dipercayai mengedar empat jenis dadah termasuk 88.8 gram (g) syabu yang keseluruhannya bernilai RM69,401 di sebuah rumah sewa di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Ketereh, di sini pada Isnin lalu.

Suspek lelaki berusia 27 tahun dan wanita berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kota Bharu pada jam 2.45 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah-dadah lain yang dirampas ialah 5,070 pil kuda, 21.5g ganja dan 33 pil ekstasi.

“Suspek lelaki ialah peniaga baju dan mempunyai enam rekod lampau jenayah narkotik sementara suspek wanita pula ada lima rekod jenayah sama.

“Ujian urin mereka didapati positif dadah dan ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin ini bagi siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini pada Rabu.

Kenderaan termasuk kereta yang disita dalam beberapa serbuan dadah di seluruh negeri Kelantan.
Kenderaan termasuk kereta yang disita dalam beberapa serbuan dadah di seluruh negeri Kelantan.

Menurut beliau, dadah tersebut dipercayai boleh digunakan oleh 5,993 penagih, bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, dalam serbuan berasingan di Pasir Mas pada 30 Mei lalu, seorang penganggur lelaki berusia 25 tahun ditahan selepas 22,000 pil kuda bernilai RM242,000 dijumpai di sebuah rumah di Kampung Danger.

Antara dadah yang dirampas dalam Operasi Tapis Khas dan Tapis Bersepadu di Kelantan.
Antara dadah yang dirampas dalam Operasi Tapis Khas dan Tapis Bersepadu di Kelantan.

“Suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah narkotik namun ujian urinnya negatif dadah.

“Suspek direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen sama kerana dipercayai mengedar dadah,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, menurut beliau, sepanjang tempoh Operasi Tapis Khas dan Tapis Bersepadu yang dijalankan di negeri ini bermula 25 Mei lalu hingga Selasa, seramai 555 tangkapan dibuat membabitkan individu berusia 15 hingga 59 tahun.

“Sebanyak 460 kes direkodkan melibatkan 515 warga tempatan, 35 warga asing, empat pelajar dan seorang penjawat awam.

“Pelbagai jenis dadah dirampas yang keseluruhannya bernilai RM396,600 selain sitaan pelbagai jenis kereta serta motosikal,” katanya.