Polis tahan lelaki edar dadah bernilai lebih RM400,000 di Sibu

Zulkipli (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Wong King Huo. - Foto Bernama
Zulkipli (tengah) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Wong King Huo. - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah, dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Wong King Huo pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, serbuan pada jam 2.15 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menemukan 71 peket plastik berwarna putih bertulis ‘Juice Master’ berisi serbuk jus diyaki campuran dadah jenis ekstasi seberat 2.294 gram serta 1,511 biji pil pelbagai jenis disyaki dadah jenis ekstasi (566.73g).

"Turut dirampas 43 peket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamine (273g) dan 26 peket plastik warna putih berisi ketulan kekuningan dan serbuk putih disyaki dadah jenis ekstasi (25,447g).

"Nilai semasa keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM402,052 dan polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik suspek bernilai RM146,000,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine/benzodiazepines (meth/benzo) dan hasil pemeriksaan didapati suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah.

Suspek yang dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu selama enam bulan kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

Menurut Zulkipli, setiap peket jus dadah itu boleh digunakan enam orang untuk tujuan hiburan dan nilai semasa adalah lebih RM500 sepeket.

Beliau turut menyeru orang ramai agar melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di pusat hiburan. - Bernama