Kes bunuh keluarga: Suspek orang yang baik, peramah - Jiran

Polis membawa keluar mayat mangsa dalam kejadian bunuh di sebuah rumah di Lorong Cerating Damai di sini, hari ini. - Foto: Bernama
Polis membawa keluar mayat mangsa dalam kejadian bunuh di sebuah rumah di Lorong Cerating Damai di sini, hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUANTAN – Lelaki yang dipercayai membunuh empat ahli keluarganya sebelum mencederakan diri sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cerating Damai pada Selasa dikenali jiran sebagai seorang yang baik dan peramah.

Seorang jiran, Saripah Jaya, 60, berkata, sepanjang mengenali keluarga tersebut, suspek tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap atau tingkah laku yang mencurigakan.

Menurutnya, suspek yang baru tinggal semula bersama keluarga kira-kira sebulan lalu sering bertegur sapa dan beramah mesra dengan jiran.

“Suspek sendiri memanggil saya dan suami sebagai ‘Mok dan Aboh’ dan setiap kali bersua, pasti dia akan menegur kami.

“Selepas dia pulang dan tinggal bersama keluarga di rumah ini sejak kira-kira sebulan lalu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, nampak seperti biasa sahaja,” katanya ketika ditemui di Taman Cerating Damai di sini pada Selasa.

Menurut Saripah, dia kali terakhir bertemu ibu suspek pada pagi Isnin ketika wanita itu sedang bersenam di hadapan rumahnya.

Bagaimanapun, pada pagi itu, Saripah berkata, dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan sama ada suara orang menjerit atau meminta tolong.

Menurutnya, dia dan suami sudah terjaga kira-kira jam 6 pagi ketika hujan turun agak lebat.

“Saya dan suami langsung tidak mendengar sesuatu yang mencurigakan sehinggalah ternampak salah seorang ahli keluarga terbabit keluar rumah dalam keadaan agak cemas dan cuba memberitahu sesuatu.

Artikel Berkaitan:

“Tanpa mengesyaki sesuatu kejadian buruk berlaku, suami keluar untuk membeli sarapan dan saya memberi makan ayam sebelum masuk semula ke dalam rumah,” katanya yang tinggal di kejiranan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tindakan seorang lelaki yang dipercayai hilang kawalan membawa kepada penemuan lima mayat dalam satu kejadian tragis di sebuah rumah di Taman Cerating Damai.

Suspek berusia 32 tahun itu dipercayai mencederakan isteri, ibu kandung dan dua anak perempuannya sehingga maut sebelum dia turut mencederakan diri sendiri serta ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu mengorbankan seorang wanita berusia 55 tahun, menantu berusia 28 tahun serta dua cucu perempuan masing-masing berusia tiga dan empat tahun.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden berkenaan daripada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga ahli keluarga dan tinggal di rumah tersebut.

Ringkasan AI

  • Lelaki yang dipercayai membunuh empat ahli keluarganya sebelum mencederakan diri sehingga maut
  • Disifatkan oleh jiran sebagai individu yang baik dan peramah
  • Baru tinggal semula bersama keluarga itu sekitar sebulan lalu tanpa menunjukkan perubahan sikap
  • Tidak ada bunyi mencurigakan didengar oleh jiran pada pagi kejadian
  • Kejadian tragis ini mengorbankan empat ahli keluarga termasuk dua cucu berusia tiga dan empat tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!