Kementerian Luar sedia bantu rakyat Malaysia ditahan di Jepun

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) bersedia untuk memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia, Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, 23, yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan dan ditahan di Jepun termasuk menjadi pemudah cara komunikasi serta memastikan kebajikannya terjamin.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, KLN berkata, bantuan yang akan diberikan itu tertakluk kepada persetujuan Muhammad Faiq dan selaras dengan undang-undang Jepun.
“Pegawai konsular sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan yang sewajarnya kepada Muhammad Faiq termasuk memudah cara komunikasi serta memastikan kebajikan beliau terjamin.
“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa kedutaan tidak boleh campur tangan dalam prosiding kehakiman sesebuah negara berdaulat atau menuntut pembebasan seseorang tahanan. KLN kekal komited sepenuhnya terhadap kebajikan warganegara Malaysia di luar negara,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan Muhammad Faiq yang berasal dari Manir, Terengganu kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan kes penipuan di mahkamah Jepun.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim menjelaskan kes menjadi rumit kerana pemuda itu dipercayai tidak faham apa yang berlaku berikutan jurang bahasa dalam kalangan semua pihak terbabit.
Justeru, KLN berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo akan terus memantau situasi berkenaan dengan rapi.
KLN turut menjelaskan mengenai prosedur pemberitahuan penahanan membabitkan kes Muhammad Faiq yang pada awalnya dilaporkan hilang di Jepun sejak 2 Disember 2025 sebelum disahkan berada dalam tahanan Balai Polis Toyama Minami.
“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah segera mengambil langkah untuk mengesan keberadaan serta mengesahkan status Muhammad Faiq sejurus menerima laporan mengenai kehilangannya termasuk mengadakan perhubungan secara langsung dengan Kementerian Luar Negeri Jepun dan pihak berkuasa penguatkuasaan tempatan.
“Usaha-usaha tersebut telah dilaksanakan sebelum dan juga selepas laporan media tempatan bertarikh 23 Januari lalu mengenai status Muhammad Faiq. Sebagai sebuah negara berdaulat, Jepun mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undangnya dalam sempadannya.
“Di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963 yang turut ditandatangani oleh Jepun, pemberitahuan kepada kedutaan asing mengenai penahanan seseorang individu bukanlah dibuat secara automatik, sebaliknya merupakan hak yang dilaksanakan atas permintaan individu yang ditahan,” ujarnya.
Selain itu, KLN memaklumkan bahawa pihak berkuasa Jepun juga tertakluk kepada Akta Perlindungan Maklumat Peribadi.
Menurutnya, undang-undang itu mengklasifikasikan status penahanan sebagai maklumat peribadi yang tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga termasuk perwakilan diplomatik tanpa persetujuan jelas individu berkenaan.
“Kedutaan telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa penyiasatan di Toyama bahawa pada ketika tersebut, persetujuan yang diperlukan untuk mendedahkan maklumat kepada kedutaan tidak diberikan oleh Muhammad Faiq.
“Sehubungan itu, pihak berkuasa Jepun terhalang dari segi undang-undang untuk memaklumkan penahanan tersebut kepada Kedutaan Malaysia atau memberikan butiran lanjut mengenai siasatan,” katanya.
Namun begitu, KLN berkata, setelah menerima pengesahan rasmi mengenai penahanan daripada pihak berkuasa Jepun, pihaknya segera memaklumkannya kepada waris terdekat dan akan terus berhubung dengan pihak keluarga bagi memastikan mereka menerima perkembangan terkini melalui saluran rasmi.
KLN pada masa sama turut mengingatkan rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di luar negara supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan negara tuan rumah.
Ringkasan AI
- Kementerian Luar Negeri bersedia memberi bantuan kepada Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, warganegara Malaysia yang ditahan di Jepun
- Bantuan tersebut adalah sewajarnya dan tertakluk pada persetujuan Muhammad Faiq serta selaras dengan undang-undang Jepun
- Muhammad Faiq dari Terengganu, menghadapi hukuman penjara sehingga 10 tahun di Jepun atas kes penipuan
- Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo memonitor situasi dan telah mengambil langkah mengesan keberadaan Muhammad Faiq sejurus menerima laporan kehilangannya
- Undang-undang Jepun mengklasifikasikan status penahanan sebagai maklumat peribadi yang tidak boleh didedahkan tanpa persetujuan jelas dari individu yang ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

