Perak jangka mula lombong lantanid tahun ini

Saarani (dua dari kanan) ketika melawat ruang pameran Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) selepas merasmikan State Leadership Summit 2022 di Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Rabu.
Saarani (dua dari kanan) ketika melawat ruang pameran Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) selepas merasmikan State Leadership Summit 2022 di Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Negeri Perak menjangkakan kerja-kerja melombong nadir bumi lantanid akan dimulakan seawal bulan September tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya kini sedang menanti kelulusan bagi Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).

Menurutnya, setelah mendapat kelulusan tersebut, usaha melombong mineral berkenaan boleh terus dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita sebenarnya sudah pun dapat Kebenaran Merancang daripada Majlis Daerah Gerik tapi dengan kebenaran bersyarat. Ada dua lagi kelulusan yang kita perlu dapatkan.

"Ikut jadual kalau dapat semua itu kita boleh memulakannya sebab kita negeri perintis bagi projek ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan State Leadership Summit 2022 di Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Rabu.

Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya juga turut menerima beberapa pandangan daripada pemain industri perlombongan yang mencadangkan beberapa kaedah baharu bagi melombong mineral tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri amat berharap agar mineral tersebut boleh menjadi pendapatan baharu bagi Perak.

Saarani sebelum ini memaklumkan projek melombong mineral nadir bumi, lantanid di daerah Hulu Perak telah mendapat Kebenaran Merancang daripada Majlis Daerah Gerik.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Mei lalu, Saarani mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak yang diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai.

Sehingga Jun lalu, kerja-kerja melombong di kawasan itu belum dimulakan kerana masih dalam peringkat permohonan kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.

Meskipun surat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) telah diperoleh, masih terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) lain yang perlu dipatuhi termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk mendapatkan Kebenaran Merancang.