Lombong lantanid dapat kebenaran merancang

Saarani (depan, tengah) bertemu dengan warga JBPM Perak pada Majlis Jalinan Mesra dan sesi dialog penerangan Perak Sejahtera 2030 di Meru Raya pada Selasa.
Saarani (depan, tengah) bertemu dengan warga JBPM Perak pada Majlis Jalinan Mesra dan sesi dialog penerangan Perak Sejahtera 2030 di Meru Raya pada Selasa.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Projek melombong mineral nadir bumi, lantanid di daerah Hulu Perak telah mendapat Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Daerah Gerik, minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim minggu lalu namun, kebenaran yang diperoleh itu adalah bersyarat.

Menurutnya, KM yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Gerik (MDG) itu bagaimanapun bersyarat.

"Kita perlu mendapatkan dua sijil dan salah satunya ialah Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), yang ini kita belum dapat.

"Selagi kita tidak mendapat penuh syarat ini, maka kita tidak akan memberi kebenaran syarikat berkenaan untuk beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jalinan Mesra bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan sesi dialog penerangan Perak Sejahtera 2030 di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya di sini pada Selasa.

Saarani berkata, pihaknya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain memenuhi janji kepada masyarakat.

"Kita mesti memenuhi janji kepada orang ramai supaya tiada orang akan merasakan kita mengabaikan SOP.

"Oleh kerana SOP begitu ketat, kita wajib memenuhi keseluruhannya barulah kita boleh melaksanakan operasi berkenaan. Walaupun MDG sudah mengeluarkan KM, kebenaran bersyarat itu perlu mendapatkan sijil EMP, kena tunggu itulah," katanya.

Ditanya mengenai tempoh memperoleh EMP itu, Saarani menjelaskan bahawa perkara itu bergantung kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kita kena faham kekangan kakitangan JAS yang mana mereka perlu membuat penyiasatan dan keperluan-keperluan lain.

"Ada banyak permohonan bagi mendapatkan sijil berkenaan daripada operasi berkaitan kuari, bauksit dan perlombongan. Jadi, kita ikut giliran barulah kita akan dapat," katanya.

Pada 23 Mei lalu, Saarani mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak yang diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai.

Sehingga Jun lalu, kerja-kerja melombong di kawasan itu belum dimulakan kerana masih dalam peringkat permohonan kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.

Menurutnya, meskipun surat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) telah diperoleh, masih terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) lain yang perlu dipatuhi termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk mendapatkan kebenaran merancang.