SPRM belum panggil saya: Saarani

Tiada exco terlibat sebaliknya hanya melibatkan PKNP

Saarani (kiri) melawat reruai Pejabat Daerah dna Tanah Ipoh sempena program Hari Bersama Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
Saarani (kiri) melawat reruai Pejabat Daerah dna Tanah Ipoh sempena program Hari Bersama Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui beliau belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar.

Menurutnya, jika dipanggil mungkin atas kapasiti sebagai menteri besar dan pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ketika ini.

Jelasnya, siasatan tersebut juga mungkin tidak akan melibatkan Exco kerajaan negeri sedia ada.

"Saya tak fikir Exco lain terlibat kerana tanah itu milik PKNP jadi mungkin yang akan dipanggil pengerusi dan ketua pegawai eksekutif ketika itu.

"Mungkin saya akan dipanggil sebab saya menteri besar sekarang dan pengerusi PKNP," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Bersama Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad bahawa beberapa saksi akan dipanggil membantu siasatan kes penjualan tanah lapangan terbang tersebut.

Mengenai dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berhubung penjualan tanah di bawah harga pasaran, Saarani menjelaskan perkara itu tidak dapat dipastikan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebarang penjualan atau pajakan tanah sepatutnya dirujuk dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Dalam laporan media pada Isnin, Saarani menempelak Hamidah kerana tidak membuat kajian yang teliti berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar itu kerana mendakwa tanah tersebut masih belum dijual.

Jelasnya, pindah milik tanah itu belum dibuat kerana pembeli belum membayar penuh harga jualan tanah itu kepada PKNP.

Sementara itu, mengulas mengenai Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, Saarani berkata, seramai 468 pengunjung yang hadir pada edisi kali ini dan sebanyak 169 aduan diterima kebanyakannya berkaitan isu tanah.