Peroleh maklumat baharu kes REE, SPRM tangguh panggil Sanusi

Sanusi Md Nor
Sanusi Md Nor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh keterangan baharu berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, merujuk kepada maklumat atau petunjuk baharu yang diterima itu, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti dan menyiasat maklumat terbaharu tersebut bagi menyokong siasatan sedia ada.

"Ada yang mempersoalkan kenapa SPRM masih tidak memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu REE ini.

"Pada masa ini, SPRM masih menangguhkan tindakan memanggil Sanusi bagi mengambil keterangan percakapan kerana maklumat baharu yang diperoleh.

"Kita akan melihat dan meneliti sepenuhnya keterangan atau maklumat baharu ini, sebelum tindakan selanjutnya dijalankan," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis perbarisan tamat latihan kursus asas pegawai SPRM Siri 27 (Penguasa P41) di Padang Kawad Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dekat sini.

Sementara itu ditanya mengenai laporan diterima SPRM sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), Azam berkata, pihaknya menerima 11 laporan berhubung pemberian berunsur rasuah.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, dua laporan diterima di ibu pejabat SPRM Putrajaya, manakala selebihnya di negeri-negeri lain.

Sehubungan itu menurut beliau, maklumat yang diterima daripada laporan sedang diproses bagi tujuan siasatan.

"SPRM akan melihat semua maklumat dan laporan diterima dengan teliti, sebelum memutuskan ia perlu dilakukan siasatan lanjut atau sebaliknya," ujarnya.

Tambah Azam, setiap calon yang bertanding perlu memastikan tiada pemberian wang atau hadiah kepada kumpulan pengundi bagi menyokong dirinya.

Tegasnya, calon yang mempunyai taraf pelajaran dan pengetahuan tinggi seharusnya memahami Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang tidak membenarkan perkara seumpama itu dilakukan.

"Ia merupakan satu kesalahan lazim yang sering berlaku semasa pilihan raya.

"Seharusnya mereka (calon) perlu faham kerana ia telah dinyatakan di dalam akta, malah telah lama diperkenalkan sejak 1954," ujarnya.