SC diminta percepat siasatan kes tipu libat RM1 bilion

Datuk Hishamuddin Hashim
Datuk Hishamuddin Hashim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon supaya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempercepatkan siasatan berhubung kes penipuan beberapa syarikat melibatkan kerugian dipercayai hampir RM1 bilion, memandangkan aduan mengenainya telah dibuat sejak April lepas.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya bimbang sekiranya semua wang pelaburan yang telah diseleweng itu akan dilesapkan oleh pihak syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil terhadap aduan itu.

"Berdasarkan pengalaman MHO menentangkan scammer (penipu) ini, kebanyakan scammer akan menjelma dengan episod baharu dan muka baharu sebab mereka dah nampak cara mudah untuk mendapatkan pendapatan.

"Sehubungan itu MHO mohon SC supaya mempercepatkan hasil siasatan dan bawa kepada Jabatan Peguam Negara sekiranya terdapat kes untuk pendakwaan," katanya pada sidang media selepas hadir ke SC bagi memohon status terkni siasatan melibatkan seramai 500 mangsa itu.

Beliau berkata, ini merupakan kali kedua MHO hadir ke SC, selepas kali pertama pihaknya berbuat demikian ialah pada 5 April lepas, bagi menyerahkan laporan aduan kepada suruhanjaya terbabit untuk tindakan lanjut.

Hishamuddin berkata, sebelum ini pihaknya telah pun membuat laporan polis, kemudian dirujuk kepada SC, dan pihaknya turut membawa perkara itu ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, hasil pertemuan dengan SC, beliau dimaklumkan bahawa kes itu masih dalam siasatan dan diberikan keutamaan oleh suruhanjaya itu, namun ia mengambil masa berikutan melibatkan jumlah kerugian yang banyak selain mangsa yang ramai.

Sementara itu Pengarah Sekuriti dan Perundangan MHO Rezza Khalid berkata, kes ini akan dibawa ke mahkamah dan ke peringkat Parlimen untuk tindakan lanjut sekiranya MHO tidak mendapat sebarang maklum balas SC berhubung perkembangan kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau difahamkan seramai 15 orang daripada mangsa telah pun memberikan kerjasama kepada pihak SC bagi membantu siasatan.

Pada 5 April lepas 500 mangsa yang terlibat dengan penipuan pelaburan yang dipercayai mencecah RM1 bilion telah menghantar laporan aduan kepada SC bagi membolehkan suruhanjaya itu menyiasat syarikat-syarikat disyaki melakukan pecah amanah dan menipu duit pelaburan orang ramai.

Syarikat pelaburan berkenaan yang menawarkan skim pelaburan kepada orang ramai dengan kadar dividen dan pulangan lumayan, turut menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan, sedangkan tokoh-tokoh berkenaan tidak langsung terlibat dengan skim pelaburan itu. - Bernama