Empat termasuk Datuk didakwa sekali lagi

Ab Aziz hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk menghadapi pertuduhan kes memiliki harta hasil aktiviti haram pada Jumaat.
Ab Aziz hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk menghadapi pertuduhan kes memiliki harta hasil aktiviti haram pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai empat ahli perniagaan termasuk seorang bergelar Datuk sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan nilaian harta mencecah lebih RM5 juta.

Mereka ialah Datuk Ab Aziz Abdullah, 44, didakwa atas sembilan pertuduhan dan abang iparnya, Muhammad Semail, 43, (dua pertuduhan); Mohd Hariza Mohd Yusof, 34, (enam pertuduhan) serta Abu Yazid Mohd, 38, (empat pertuduhan).

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Ab Aziz didakwa atas lapan pertuduhan iaitu memiliki empat jam tangan berjenama Rolex, tiga pangsapuri dan satu kondominium bernilai RM1.53 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memperoleh sebuah rumah RM1.15 juta melalui dua cek milik Sepakat Hidayah Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada bayaran pembelian rumah tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Ukay Perdana dan Taman Subang Perdana pada 21 September 2015, 9 Mac dan 22 Mei 2016 serta 6 April 2021.

Muhammad berdepan dua pertuduhan menggunakan wang dan dua cek berjumlah RM854,513.90 bagi pembelian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire dan kereta jenis Bentley Continental.

Kesalahan didakwa dilakukan di Sungai Buloh pada 5 November 2018 serta 22 Januari 2019.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hariza pula didakwa enam pertuduhan memiliki kereta Mercedes Benz, jam tangan Rolex dan dua rumah berjumlah RM886,650; wang tunai (RM137,250) serta pelbagai mata wang asing seperti Arab Saudi (Riyal 1,590), Thailand (Bath 18,400), China (Yuan 1,650) dan Amerika Syarikat (AS$2,045).

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di Taman Ukay Bistari pada 3 Februari dan 12 Mei 2016 serta 6 April 2021.

Bagi Abu Yazid, dia berdepan empat pertuduhan telah memiliki wang tunai berjumlah RM44,400, mata wang Arab Saudi (Riyal 7,900) dan memperoleh dua pangsapuri berjumlah RM446,399.20.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di Prima Selayang di sini, pada 26 Disember 2017 dan 6 April 2021.

Keempat-empat tertuduh itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan memperoleh rumah, pertuduhan turut dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim memohon kepada mahkamah untuk menguna pakai ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis terhadap kesemua tertuduh.

“Di Mahkamah Kuala Lumpur, Ab Aziz diikat jamin sebanyak RM400,000; Muhammad dan Mohd Hariza masing-masing RM250,000 manakala Abu Yazid RM150,000.

“Pendakwaan juga memohon agar kesemua pertuduhan ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya.

Peguam, Md Yunos Sharif yang mewakili empat tertuduh itu tidak membantah permohonan tersebut.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes pada 20 April depan.

Pada Khamis, kesemua empat tertuduh dan seorang lagi wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 81 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit, bermula 2015.