Empat lelaki termasuk pelajar didakwa cederakan gelandangan

Pihak polis membawa empat remaja lelaki ke Mahkamah Majistret Klang pada Jumaat, bagi menghadapi dua pertuduhan mencederakan seorang gelandangan dan remaja lelaki, bulan lalu.
Pihak polis membawa empat remaja lelaki ke Mahkamah Majistret Klang pada Jumaat, bagi menghadapi dua pertuduhan mencederakan seorang gelandangan dan remaja lelaki, bulan lalu.
A
A
A

KLANG - Seramai empat lelaki termasuk tiga pelajar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan mencederakan seorang gelandangan dan remaja lelaki, bulan lepas.

Chan Jia Jing, 19, yang memakai baju T hitam dan tiga remaja lain berusia 16 tahun mengenakan baju lokap ungu, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 67 tahun, di kaki lima sebuah pasar raya di Jalan Lebuh Berangan, Pelabuhan Klang, di sini pada jam 3.30 pagi, 8 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh mencederakan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Pandamaran di sini, pada jam 1.10 tengah hari, hari sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi mencadangkan tertuduh muda ini diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan syarat tambahan, tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam, Tham Weng Kin yang mewakili semua tertuduh merayu kadar itu dikurangkan kerana mereka masih berada di bawah tanggungan keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sarulatha membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai depan.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan polis mengesan dua rakaman video yang tular di media sosial Twitter memaparkan empat lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta memukul seorang gelandangan menggunakan besi pemukul besbol.

Kejadian berlaku di bawah jambatan Pelabuhan Klang berhampiran sebuah pasar raya Lebuh Beringin.

Kaunter Aduan Balai Polis Pelabuhan Klang juga telah menerima laporan daripada seorang wanita tempatan mengenai klip video terbabit di Instagram.

https://www.sinarharian.com.my/article/261872/berita/semasa/3-remaja-pukul-gelandangan-diberkas-seorang-masih-dikesan