Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan, wang tunai RM38 juta, emas 200kg disita

MATF turut menyita wang tunai kira-kira RM38 juta, emas dianggarkan 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta selain 17 kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.
MATF turut menyita wang tunai kira-kira RM38 juta, emas dianggarkan 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta selain 17 kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya dalam satu operasi besar-besaran Isnin lalu.

Operasi itu sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah pada 24 Julai lalu.

Dalam serbuan itu, MATF turut menyita wang tunai kira-kira RM38 juta, emas dianggarkan 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta selain 17 kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz.

Serbuan berkenaan dilakukan serentak di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melibatkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi.

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.

Operasi yang diberi nama Op 82S merupakan kes pertama yang dijalankan MATF yang dipengerusikan oleh Peguam Negara.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM). - Awani