Jabatan Perikanan sahkan bukan muntah ikan paus

Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai muntah ikan paus.
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai muntah ikan paus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketulan objek yang ditemui seorang wanita ketika memancing di perairan Marang pada November lalu disahkan sebagai bukan muntah ikan paus.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, hasil ujian terhadap ketulan tersebut tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif iaitu 'ambrein', 'epicoprosterol' dan 'coprostanone' di dalamnya yang menjadi elemen penting kepada ketulenan sesuatu sampel ambergris.

"Sebaliknya, kandungan yang dijumpai pada sampel itu mendapati ia terbentuk daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak lalu membentuk ketulan sedikit berfiber (berserabut).

"Secara saintifiknya, peratusan terbanyak yang terkandung di dalam ketulan tersebut ialah Pyrazole (94.56 peratus) dan Pyrrole (3.34 peratus)," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita pada Khamis.

Menurut Ruzaidi, muntah ikan paus tulen mempunyai struktur seperti batu kapur dan secara fizikal juga menunjukkan perbezaan dengan muntah paus tulen.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan telah membuat persampelan daripada bahagian ketulan tersebut pada pada 15 Disember untuk dianalisis oleh Makmal Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun.

"Analisis termal turut dilaksanakan bagi mengetahui takat lebur ketulan yang dijumpai. Melalui analisis tersebut, takat lebur ketulan yang dijumpai adalah 76.04 darjah Celsius sedangkan takat lebur ambergris tulen ialah 82.32 darjah Celsius.

"Dakwaan mengatakan ketulan tersebut mengeluarkan bau yang wangi adalah diandaikan daripada bahan 1H-Pyrazole yang terdapat bersama ketulan tersebut dan bahan ini mempunyai salah satu struktur gegelang heterosiklik dan akan mengeluarkan bau atau aroma apabila dibakar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sebaik sahaja keputusan rasmi dikeluarkan pada Rabu, satu perbincangan antara Jabatan Perikanan Malaysia dan UMT telah dilaksanakan dan keputusan itu turut disahkan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Profesor Madya Dr Hasrizal Shaari.

Sementara itu, mengulas berkaitan isu perdagangan antarabangsa bagi muntah ikan paus pula, Ruzaidi berkata, ia tertakluk kepada Akta 686 iaitu Perdagangan Antarabangsa mengenai spesies terancam dan memerlukan permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Mengenai Spesies Terancam (CITES) daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

"Tanpa permit tersebut, pihak yang terlibat boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pemancing, Aida Zurina Long, 41, dari Kemasik, Kemaman menemui objek dipercayai muntah paus ketika memancing berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang.

Susulan itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah pergi ke rumah wanita tersebut untuk mengambil sedikit sampel bagi tujuan kajian sama ada ia benar-benar muntah ikan paus atau hanya gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.