MOSTI akan tambah alat pengesan radioaktif di perairan negara

Lih Kang (tiga dari kanan) menyaksikan Kon Yeow (tiga dari kiri) merasmikan STEM Showcase '23 di Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang, Georgetown pada Jumaat.
Lih Kang (tiga dari kanan) menyaksikan Kon Yeow (tiga dari kiri) merasmikan STEM Showcase '23 di Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang, Georgetown pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan akan memasang empat lagi alat pengesan radioaktif iaitu sistem pemantauan air spektrum gamma bagi mengesan kehadiran sisa radioaktif di perairan negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, Malaysia ketika ini mempunyai satu alat pengesan radioaktif tersebut yang dipasang di perairan di Sabah.

Menurutnya, kementerian bagaimanapun masih mengenal pasti lokasi strategik untuk pemasangan alat pengesan berkenaan.

"Kita memang mengambil berat apa yang berlaku di Jepun iaitu pelepasan air radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear ke laut. Di bawah MOSTI, kita ada Jabatan Tenaga Atom untuk memantau kualiti air.

"Berdasarkan data yang kita dapat daripada badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), setakat ini ia menunjukkan air yang dilepaskan itu berada di bawah tahap yang selamat.

"Bagaimanapun, kita masih mengambil berat dan prihatin dengan kebimbangan rakyat Malaysia. Oleh demikian, kita sudah memasang satu alat pengesan iaitu sistem pemantauan air spektrum gamma untuk memantau tahap radioaktif air laut di perairan negara secara 24 jam," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian STEM Showcase '23 di Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Pulau Pinang pada Jumaat.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut Lih Kang berkata, sehingga kini tiada sisa radioaktif dikesan di perairan negara.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pemasangan alat berkenaan, kita akan tahu kehadiran radioaktif selain tahap kandungannya sama ada normal atau tidak. Malaysia adalah negara ketiga selepas Singapura dan Vietnam yang memasang sistem pemantauan air spektrum gamma ini.

"Yang ada kini adalah di Sabah dan kita rancang akan pasang empat unit lagi yang mana, lokasinya sedang dikenal pasti," katanya.

Jepun pada Khamis dilaporkan mula melepaskan air radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara dan Hong Kong.

Laporan oleh Reuters berkata, kumpulan nelayan Jepun sendiri mengakui mereka bimbang pelepasan air itu akan mendorong kepada kemusnahan reputasi sektor makanan laut negara itu.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai bantahan itu, Jepun kekal dengan pendiriannya dan menyifatkan tindakan melepaskan air adalah selamat.

Jepun berkata, kebanyakan unsur radioaktif daripada air berkenaan akan dikeluarkan, kecuali tritium, isotop hidrogen yang perlu dicairkan kerana unsur berkenaan sukar untuk ditapis.

Operator loji janakuasa Fukushima, Tepco, Selasa lalu berkata, air itu asalnya akan dilepaskan dalam kuantiti lebih kecil berserta pemeriksaan tambahan dengan fasa pertama membabitkan 7,800 meter padu, untuk kira-kira 17 hari.