Perjuangan 'senyap' pelukis jalanan

Kehadiran pelukis jalanan seperti Mazlan (kiri) dan Jefri turut menjadi tarikan pengunjung di Pantai Teluk Cempedak terutama pada hujung minggu.
Kehadiran pelukis jalanan seperti Mazlan (kiri) dan Jefri turut menjadi tarikan pengunjung di Pantai Teluk Cempedak terutama pada hujung minggu.
A
A
A

KUANTAN - Di sebalik kehadiran beberapa pelukis jalanan terutama pelukis veteran di lokasi tumpuan Pantai Teluk Cempedak di sini, terselit kisah perjuangan senyap digalas mereka memperjuangkan kelangsungan seni kontemporari itu.

Ketika dunia kini semakin terarah kepada teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), mereka masih setia dengan lukisan tangan kerana seni itu masih diminati dan ada peminatnya sendiri.

Seorang pelukis di Pantai Teluk Cempedak tekun menyiapkan lukisan potret yang ditempah pengunjung.
Seorang pelukis di Pantai Teluk Cempedak tekun menyiapkan lukisan potret yang ditempah pengunjung.

Bagi Jefri Ahmad, 55, sebagai pelukis sepenuh masa, dia bergantung kepada hasil tempahan lukisan dari pengunjung pantai peranginan itu selain di beberapa lokasi tumpuan lain di sekitar Kuantan.

Dia yang fokus kepada lukisan potret dan karikatur mengakui permintaan terhadap lukisan itu tetap ada kerana masih ramai peminatnya.

Pada masa sama, bekas pekerja grafik ini juga tidak menolak wujud kesan tidak langsung dari lambakan pelbagai aplikasi digital dan AI yang mana semua orang boleh menghasilkan karya sendiri di telefon bimbit atau komputer dan mencetaknya pada bila-bila masa.

“Saya melihat situasi ini ada baik buruknya tetapi bagi pelukis jalanan seperti kami tetap akan mempertahankan lukisan asli hasil kreativiti dan bakat dianugerahkan.

“Lukisan asli tetap ada peminat. Saya masih terima tempahan cuma agak sukar untuk meletakkan harga sesuai dengan nilai karya dihasilkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Harga berpatutan ditawarkan Jefrl untuk pengunjung Pantai Teluk Cempedak untuk tempahan lukisan karikatur.
Harga berpatutan ditawarkan Jefrl untuk pengunjung Pantai Teluk Cempedak untuk tempahan lukisan karikatur.

Katanya, lukisan karikatur dihasilkan berharga sekitar RM10 hingga RM20 sahaja namun di tempat lain seperti Kuala Lumpur mampu memperoleh harga lebih tinggi mencecah RM50 hingga RM100.

“Untuk lukisan potret, harga bergantung kepada media, saiz dan masa untuk menyiapkan sehingga ada yang mencecah ribuan ringgit,” katanya yang agak keberatan untuk berkongsi pendapatan hasil kerja seninya itu.

Bagi Mazlan Ab Rani, 66, seni lukis bukan sekadar hasil visual tetapi lahir daripada jiwa dan pengalaman.

Katanya, lukisan tangan mempunyai ‘aura’ atau ‘roh’ yang tidak mampu ditiru oleh karya digital atau AI.

“Lukisan asli lebih dihargai peminat seni yang benar-benar faham nilai sesebuah karya seni kerana ia bukan sekadar cantik, tetapi lahir daripada imaginasi pelukis itu sendiri,” jelasnya.

Antara lukisan cat air karya Mazlan.
Antara lukisan cat air karya Mazlan.

Mula aktif melukis sebagai hobi selepas bersara daripada penjawat awam pada 2020, Mazlan tidak menafikan realiti bahawa lukisan digital dan AI kini lebih diminati generasi muda yang ‘berkiblatkan’ kecantikan visual berbanding nilai seni.

“Memang tidak boleh nafikan, seni digital semakin mendominasi kerana ia lebih murah, mudah dan boleh dihasilkan sendiri.

“Keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pelukis jalanan malah berpotensi membunuh kreativiti dan nilai seni jika tidak diseimbangkan,” ujarnya.

Md Noh sabar menunggu peminat seni lukisan di gerai lukisan miliknya.
Md Noh sabar menunggu peminat seni lukisan di gerai lukisan miliknya.

Pelukis veteran, Md Noh Abdul Majid, 85, pula berpandangan seni itu universal dan berkembang mengikut peredaran zaman.

Pesara auditor yang mula melukis pada 2013 itu percaya nilai seni menjadi pemisah utama antara karya asli dan digital.

“Orang yang tahu nilai seni tetap menghargainya cuma dari aspek komersial, digital memang menjuarai zaman ini kerana mudah, cantik dan murah,” kongsinya.

Beliau yang gemar menghasilkan lukisan landskap turut menegaskan bahawa generasi baharu mungkin cenderung kepada karya digital, namun seni asli tidak akan mati selagi ada penghargaan terhadap nilainya.

Ringkasan AI

  • Pelukis jalanan di Pantai Teluk Cempedak memperjuangkan seni kontemporari walaupun dunia bergantung kepada teknologi digital dan AI
  • Jefri Ahmad, 55, bergantung kepada hasil tempahan lukisan dari pengunjung dan mengakui tetap ada permintaan untuk lukisan potret dan karikatur
  • Wujud kesan tidak langsung dari lambakan aplikasi digital dan AI, namun pelukis tetap mempertahankan lukisan asli hasil kreativiti
  • Pelukis veteran, Mazlan Ab Rani, 66, dan Md Noh Abdul Majid, 85, menekankan bahwa lukisan tangan mempunyai 'aura' unik yang tidak dapat ditiru oleh karya digital
  • Generasi muda lebih diminati lukisan digital kerana lebih murah dan mudah dihasilkan, namun seni asli tidak akan mati selagi ada penghargaan terhadap nilainya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!