18 sampel didakwa muntah ikan paus tidak tulen

Dua sampel ambergris atau muntah ikan paus (dari kiri) yang diperoleh dari Scotland mengandungi bahan aktif sementara dua sampel (dari kanan) yang dihantar untuk dianalisis tiada kandungan bahan aktif berkenaan.
Dua sampel ambergris atau muntah ikan paus (dari kiri) yang diperoleh dari Scotland mengandungi bahan aktif sementara dua sampel (dari kanan) yang dihantar untuk dianalisis tiada kandungan bahan aktif berkenaan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 18 sampel didakwa muntah ikan paus yang dianalisis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tiada kandungan ambrien iaitu komponen penting bagi menentukan ketulenan lilin ambergris atau lebih dikenali sebagai muntah ikan paus.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Profesor Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, kesemua sampel diterima ditemui di perairan negara dan dihantar ke Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL), UMT untuk proses analisis sejak Januari tahun ini.

Beliau memberitahu, muntah paus yang bernilai tinggi akan mempunyai tiga bahan aktif utama iaitu ambrein sebanyak 25 hingga 45 peratus, epicoprosterol (30 hingga 40 peratus) coprostanone (3 hingga 4 peratus).

"Tanpa kandungan tiga bahan aktif berkenaan ketulan tersebut tidak bernilai.

"Kebanyakan sampel yang dihantar tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif yang menjadi elemen penting kepada ketulenan sesuatu sampel ambergris sebaliknya lebih kepada kandungan lemak atau fatty acid," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Dr Hasrizal, ketulan lilin ambergris perlu melalui satu analisa makmal yang komplek serta perlu dirujuk kepada satu standard khusus bagi menentukan ketulenannya.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Sains Dan Sekitaran Marin (FSSM) berkata, PPPL UMT kini berupaya mengenalpasti ketulenan sesuatu sampel ketulan berlilin yang ditemui menjadikan ia satu-satunya universiti di negara ini yang berupaya menentusahkan ketulenan sampel ambergris.

"Kemampuan untuk menentusahkan ketulenan muntah ikan paus ini turut dibantu pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT dan Plymouth Universiti iaitu Dr Nurul Huda Abdul Wahab dan Profesor Dr Rowlan J Stevan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mempunyai dua sampel lilin ambergris tulen dengan berat satu gram setiap satu yang dijadikan panduan bagi proses analisis. Sampel ini dibeli dari Scotland dengan nilai RM300 setiap satu gram," katanya.

Menurut Dr Hasrizal, muntah paus tulen merupakan bahan berwarna kelabu atau kehitaman, kusam yang padat, berlilin dan mudah terbakar.

Katanya, bahan berharga ini dihasilkan oleh rembesan saluran hempedu yang terdapat di dalam sistem pencernaan ikan paus sperma serta memiliki nilai pasaran yang sangat tinggi.

"Ambergris amat dihargai oleh pembuat minyak wangi sebagai bahan penetap yang membolehkan aroma minyak wangi tahan lebih lama, walaupun kebanyakannya digantikan oleh ambroksida sintetik," katanya.

Akhir November lalu, seorang wanita menemui satu objek dipercayai muntah ikan paus ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di Marang.

Objek itu ditemukan terapung ketika wanita berkenaan sedang memancing bersama keluarga.