15 lokasi 'blackspot', 30 'hotspot' dipantau sepanjang Op Selamat 25

Fadil ketika melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion pada Jumaat.
Fadil ketika melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 lokasi blackspot dan 30 lokasi hotspot di sekitar Kuala Lumpur serta Putrajaya dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan pemantauan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pemantauan akan dilaksanakan menerusi penugasan anggota di lokasi strategik selain rondaan berterusan bagi memastikan aliran trafik sentiasa lancar.

"Semua lokasi blackspot di Kuala Lumpur melibatkan Jalan Kuching, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2, Jalan Tun Razak, Lebuhraya DUKE, Jalan Sungai Besi, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Klang Lama.

"Selain itu turut terlibat Jalan Loke Yew, Jalan Damansara, Jalan Kepong dan Jalan Ampang," katanya.

Beliau berkata, di Putrajaya pula melibatkan Persiaran Selatan, Persiaran Utara, Lebuh Perdana Barat dan Lebuh Perdana Timur.

"Pemantauan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan di semua lokasi ini bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan aliran trafik lebih terkawal,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion di sini pada Jumaat.

Fadil ketika melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion pada Jumaat.
Fadil ketika melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion pada Jumaat.

Fadil berkata, bagi kawasan hotspot di Kuala Lumpur pula melibatkan Bulatan Segambut, Bulatan Kepong dan susur pertemuan Jalan Kuching/Lebuhraya DUKE.

Artikel Berkaitan:

"Laluan lain melibatkan Jalan Kuching/Jalan Tun Razak, Bulatan Cheras, Bulatan Sungai Besi, Bulatan Sungai Besi menghala ke kedai tayar (Jalan Yew), Bulatan Billion (MRR2/Jalan Cheras) dan Lebuhraya KL-Seremban/Lapangan Terbang Lama.

"Selain itu Jalan Cheras depan Balai Cheras, Jalan Tun Razak/Lebuhraya MEX, Jalan Cheras/Jalan Shamelin dan Jalan Klang Lama/Jalan Syed Putra," katanya.

Menurutnya, kawasan hotspot turut melibatkan beberapa laluan utama di pusat bandar serta kawasan tumpuan orang ramai termasuk pusat membeli-belah dan kawasan komersial.

"Kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di kawasan tumpuan awam dan lokasi yang melibatkan keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah kenderaan terutama ketika musim perayaan menjadi antara punca utama kesesakan trafik di ibu negara.

"Kita sedang berusaha mengurangkan kesesakan dan mahu memastikan aliran trafik lebih harmoni.

"Namun, kerjasama masyarakat amat penting dengan mematuhi undang-undang jalan raya serta arahan penguat kuasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Op Selamat 25 KL fokus kelancaran trafik, cegah jenayah

Sementara itu, Fadil berkata, polis Kuala Lumpur akan memfokuskan kepada aliran trafik lancar dan pencegahan jenayah dalam Op Selamat 25 yang bermula 15 hingga 20 Februari ini.

Menurutnya, operasi berkonsepkan Pre-Emptive Services dan Total Enforcement itu melibatkan seramai 337 pegawai dan anggota dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, St John Ambulans, Malaysian Crime Prevention Foundation serta tujuh konsesi lebuh raya.

"Pelaksanaan Op Selamat 25 memberi tumpuan kepada pengurangan kesesakan lalu lintas sepanjang musim perayaan selain penguatkuasaan tegas terhadap kesalahan trafik yang menjadi punca kemalangan, khususnya kemalangan maut," katanya.

Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion pada Jumaat.
Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi itu turut menekankan aspek pencegahan jenayah pecah rumah susulan peningkatan kes berkenaan ketika musim perayaan.

"Objektif utama operasi adalah meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, menurunkan kadar kemalangan dan kematian serta memastikan aliran trafik sentiasa lancar.

"Pada masa sama, kita mahu mengurangkan risiko jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan dengan meningkatkan rondaan dan pemantauan keselamatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kediaman berada dalam keadaan selamat sebelum pulang bercuti.

"Pastikan rumah dikunci dengan sempurna, maklumkan kepada balai polis berhampiran atau pihak pengurusan kawasan perumahan sepanjang ketiadaan di rumah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kemalangan.

"Kita mahu semua masyarakat membantu pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • 15 lokasi blackspot dan 30 lokasi hotspot di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenal pasti untuk pemantauan dalam Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina
  • Pemantauan akan dilaksanakan menerusi penugasan anggota di lokasi strategik dan rondaan berterusan
  • Lokasi blackspot melibatkan jalan utama dan lebuh raya di Kuala Lumpur dan Putrajaya
  • Kawasan hotspot melibatkan bulatan, persimpangan jalan, dan beberapa laluan utama di pusat bandar serta kawasan tumpuan orang ramai
  • Op Selamat 25 bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, menurunkan kadar kemalangan, memastikan aliran trafik lancar, serta mengurangkan risiko jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!