MBDK sita menara telekomunikasi tanpa kelulusan

KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil tindakan tegas menyita sebuah struktur telekomunikasi yang didakwa dibina tanpa kelulusan di Jalan Bukit Jati 1A di sini.
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, tindakan itu diambil susulan aduan penduduk Taman Bukit Jati berhubung pembinaan sebuah struktur 'Smartpole' setinggi 24 meter milik sebuah syarikat.
Menurutna, hasil siasatan mendapati struktur itu dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.
"Sehubungan itu, tindakan serta-merta diambil dengan menyita tapak berkenaan menggunakan pita keselamatan bagi menghentikan semua kerja pembinaan.
"Notis di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) turut dikeluarkan pada 30 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Norfiza memberitahu, notis serahan tangan sudah dibuat pada 5 Februari lalu dan pemilik diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan pelan bagi kelulusan.
"Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang," tambahnya.
Beliau menegaskan, MBDK akan memastikan setiap pembangunan mematuhi garis panduan dan peraturan ditetapkan.
"Pematuhan ini penting demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat," tegas beliau.
Terdahulu, penduduk mendakwa menara telekomunikasi itu didirikan tanpa kelulusan di atas tanah rizab kerajaan.
Seorang penduduk, Badrol Hisham Abdul Hamid, 64, berkata, struktur itu terletak kira-kira 100 meter dari kawasan perumahan yang mempunyai lebih 4,000 penduduk selain beberapa taman perumahan dan kampung berhampiran.
Menurutnya, penduduk bimbang terhadap kemungkinan kesan radiasi daripada pemancar itu terhadap kesihatan lebih-lebih lagi kawasan itu dihuni ramai warga emas.
Ringkasan AI
- MBDK menyita struktur telekomunikasi di Jalan Bukit Jati 1A kerana dibina tanpa kelulusan
- Penduduk Taman Bukit Jati membuat aduan tentang pembinaan struktur 'Smartpole' setinggi 24 meter
- Struktur dibina tanpa kelulusan PBT dan tapak disita menggunakan pita keselamatan
- Pemilik diberi 30 hari untuk mengemukakan pelan kelulusan atau berdepan tindakan perobohan
- Penduduk bimbang kesan radiasi dari pemancar terhadap kesihatan warga emas di kawasan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

