Tiada peningkatan aras radioaktif di perairan negara dikesan

Tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara dikesan ketika ini susulan pelepasan air terawat oleh kerajaan Jepun dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik. - Gambar hiasan
Tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara dikesan ketika ini susulan pelepasan air terawat oleh kerajaan Jepun dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara dikesan ketika ini susulan pelepasan air terawat oleh kerajaan Jepun dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik, kata Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia).

Atom Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memandang berat kerisauan rakyat dan memantau tahap keradioaktifan perairan negara dengan rapi menerusi agensinya Atom Malaysia.

Menurut agensi itu, MOSTI menerusi Atom Malaysia dengan kerjasama Kesatuan Eropah telah melakukan pemasangan Gamma Spectrum Water Monitoring Station untuk memantau sebarang peningkatan aras keradioaktifan secara "masa nyata” di perairan negara sebagai pengesanan amaran awal.

Badan kawal selia tenaga atom di Malaysia itu berkata, data dari stesen itu dipantau 24 jam dan tujuh hari seminggu di Pusat Pengurusan Tindakbalas Nuklear Kebangsaan (NCNRM), Ibu Pejabat Atom Malaysia di Dengkil, Selangor.

"Berdasarkan pemantauan semasa oleh Atom Malaysia, tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara dikesan pada ketika ini daripada aktiviti berkenaan," katanya.

Atom Malaysia berkata, ia sentiasa menjadikan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebagai rujukan utama dalam melakukan aktiviti kawal seliaan dan dalam kes di Jepun itu, dan IAEA membuat kesimpulan bahawa pendekatan serta aktiviti untuk melepaskan air yang dirawat Advanced Liquid Processing Systems (ALPS) adalah konsisten dengan piawaian keselamatan antarabangsa.

Menurut Atom Malaysia, IAEA dalam dapatannya melaporkan bahawa pelepasan air terawat ke laut adalah terkawal, dilakukan secara berperingkat dan mempunyai kesan radiologi yang boleh diabaikan kepada manusia dan alam sekitar. - Bernama